Selasa, 29 March 2022 | 10:57am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Abai kecerdasan emosi jejas pencapaian akademik murid lelaki

Secara umum masyarakat selalu berpandangan murid perempuan lebih bijak berbanding lelaki. Hal ini disimpulkan berdasarkan kepada laporan kemasukan ke institut pengajian tinggi yang mana pelajar perempuan lebih ramai.

Sebagai contoh, enrolmen atau jumlah kemasukan pelajar perempuan ke universiti awam adalah lebih tinggi berbanding lelaki bagi tiga tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2015, 2016 dan 2017.

Ini ditambah pula dengan peratusan kelulusan pelajar perempuan dalam peperiksaan awam misalnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Misalnya jika kita lihat keputusan SPM 2017, murid perempuan menunjukkan prestasi akademik yang lebih baik berbanding murid lelaki. Malah, kecemerlangan mereka tidak hanya terhenti di bangku sekolah tetapi juga diteruskan sehingga ke peringkat pengajian tinggi.

Keadaan ini membuatkan kita yakin, murid perempuan lebih bijak berbanding lelaki. Namun, pandangan ini kurang tepat kerana ia hanyalah gambaran awal sahaja. Ia juga sebenarnya memberitahu kita mengenai dominasi dan ketidakseimbangan pencapaian antara murid perempuan dan lelaki.

Sebenarnya, keadaan ini perlu difahami seiring dengan aspek perkembangan psikologi murid. Dari sudut perkembangan psikologi, situasi ketidakseimbangan jantina dalam pencapaian akademik sangat berkait rapat dengan faktor kecerdasan emosi.

Murid lelaki lambat matang

Kematangan kecerdasan emosi antara murid lelaki dan perempuan adalah berbeza. Pelajar perempuan dilihat lebih cepat matang berbanding lelaki. Oleh kerana tahap kecerdasan emosi yang tinggi, murid perempuan lebih cepat pandai dalam mengurus

diri sendiri terutamanya membabitkan proses berfikir, berkongsi pendapat, mengawal perasaan dan bertindak mengikut kesesuaian masa dan keadaan.

Contohnya, ketika sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) dijalankan murid perempuan lebih mudah untuk berkongsi sesuatu perkara dengan rakan dan guru mengenai apa yang mereka fikirkan dan rasai.

Mereka juga lebih mudah bertanya sekiranya tidak memahami isi kandungan mata pelajaran atau arahan yang diberikan oleh guru. Situasi ini seterusnya akan meningkatkan lagi motivasi murid untuk hadir ke sekolah, berdisiplin serta konsisten dalam menyiapkan sesuatu tugasan yang diberi oleh guru mereka.

Oleh itu, murid perempuan lebih cepat menyesuaikan diri dengan permasalahan yang sedang dialami, membantu meningkatkan kemahiran menyelesaikannya dan dapat memperbaiki tahap perkembangan kognitif mereka.

Murid lelaki mengabaikan emosi

Murid lelaki kerap mengabaikan emosi mereka sendiri seperti mengabaikan kegelisahan atau kerisauan sekiranya tidak memahami sesuatu topik ketika sesi pengajaran dan pembelajaran dijalankan.

Mereka sukar berkomunikasi dengan guru dan rakan-rakan mengenai permasalahan yang

dialami. Sekiranya keadaan itu berterusan, murid akan cepat berasa bosan dan sesi PdP dalam kalangan murid lelaki akan menjadi pasif seperti mereka tidak mahu terbabit dalam aktiviti pembelajaran, enggan menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh guru dan lain-lain lagi.

Malah, sekiranya tidak dikawal pada peringkat awal, murid lelaki akan lebih terdedah dengan masalah disiplin seperti ponteng sekolah atau kelas, melawan guru, merokok, bergaduh sesama rakan dan lain-lain lagi.

Semua ini akhirnya akan meningkatkan lagi keterbatasan untuk perkembangan intelek mereka. Justeru itu, tidak hairanlah mengapa murid lelaki kurang cemerlang dalam pembelajaran berbanding perempuan disebabkan lemahnya kecerdasan emosi.

Justeru, selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam memperkembangkan potensi murid secara menyeluruh, elemen intelek perlu juga seiring dengan kecerdasan emosi.

Dalam hal ini, peranan guru-guru amatlah besar bagi memastikan murid lelaki tidak ketinggalan dalam proses pembelajaran. Kemahiran guru mempelbagaikan pendekatan dan aktiviti pembelajaran yang bersesuaian perlu ditingkatkan kerana kadar kematangan kecerdasan emosi murid lelaki dan perempuan adalah berbeza.

1. Sediakan aktiviti pembelajaran

Secara umum, guru perlu meningkatkan minat murid dengan memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran tidak pasif. Murid lelaki cepat berasa bosan sekiranya guru hanya menyampaikan isi pelajaran tanpa diselangi dengan aktiviti yang bersesuaian dengan sifat dan personaliti mereka yang sukakan cabaran, menunjukkan kebolehan dan kemahiran.

Sebagai contoh, guru boleh menyediakan aktiviti pembelajaran berbentuk pertandingan secara berkumpulan bagi menggalakkan murid bertanya. Hal ini juga meningkatkan proses komunikasi antara murid dan guru. Menerusi kaedah itu, murid lelaki akan lebih tertarik dan mengambil bahagian dalam sebarang aktiviti semasa sesi PdP dijalankan.

2. Sokongan ibu bapa

Ibu bapa juga perlu berperanan meningkatkan potensi murid dalam pembelajaran. Sebagai contoh, ibu bapa boleh memberi sokongan motivasi dengan sentiasa memberi galakan kepada anak-anak terutamanya murid lelaki untuk membuat ulang kaji di rumah dan menyiapkan tugasan yang diberi oleh guru.

3. Berkomunikasilah dengan anak

Selain itu, ibu bapa perlu meluangkan masa untuk berkomunikasi dengan anak-anak berkenaan permasalahan yang dihadapi dalam pembelajaran mereka. Ini adalah kerana, murid lelaki akan lebih rasa dihargai apabila ibu bapa mengambil berat akan kesukaran yang dialami dan seterusnya akan meningkatkan motivasi mereka untuk terus berusaha dengan lebih baik dan berjaya.

Justeru apa yang boleh disimpulkan guru dan ibu bapa sama-sama perlu memainkan peranan penting dalam meningkatkan kecerdasan emosi murid. Hal ini seterusnya akan membantu merapatkan jurang perbezaan kecemerlangan pembelajaran antara murid lelaki dan perempuan.

Penulis adalah Pengarah, Pusat Sejahtera, Universiti Malaysia Pahang

Berita Harian X