Selasa, 22 March 2022 | 9:00am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Kegiatan kokurikulum mampu bentuk kemahiran insaniah

Terlalu biasa kita mendengar mengenai sambutan dingin ibu bapa terhadap kegiatan kokurikulum di sekolah. Ada segelintir yang tidak menggalakkan anak mereka turut serta dengan pelbagai alasan.

Antaranya faktor jadual akademik yang padat misalnya antara pembelajaran di sekolah dan kelas tambahan antara yang dikenal pasti. Tidak kurang yang melihatnya sebagai membuang masa kerana murid perlu fokus terhadap pembelajaran terlebih dahulu sebelum aktiviti senggang.

Namun satu hal yang mungkin kurang disedari, kejayaan seseorang murid itu tidak hanya diukur pada berapa jumlah deretanAyang diperoleh. Sebaliknya, kejayaan individu juga dilihat daripada sikap dan pemikiran juga hati budi serta nilai insaniah dimilikinya.

Malah, ramai di luar sana yang mampu meraih markah penuh setiap kali peperiksaan tetapi gagal berkomunikasi dengan baik atau membentuk kerjasama kumpulan.

Justeru, seorang pelajar perlu menguasai kemahiran teknikal dan insaniah sebagai acuan membentuk dirinya menjadi manusia. Kemahiran teknikal merujuk kepada pembelajaran yang diajar secara formal di dalam bilik darjah. Ia merangkumi hal-hal seperti menghafal sifir, menganalisis data, membaca buku bagi meningkatkan pengetahuan dan menjawab soalan yang memerlukan latihan.

Kemahiran insaniah sebaliknya bersifat keperibadian iaitu berperanan membentuk personaliti yang berkembang dari masa ke masa melalui pertumbuhan dan kematangan peribadi. Ia tidak boleh diajar melalui buku sebaliknya murid perlu merasai dan menguasai sendiri kemahiran ini dengan menyertai aktiviti kokurikulum yang dirancang. Misalnya kegiatan sukan dan permainan, pertubuhan pakaian seragam dan kelab atau persatuan.

- Foto hiasan
- Foto hiasan

Kombinasi kedua-duanya mampu memantapkan pembentukan diri seorang pelajar. Justeru, kegiatan kokurikulum perlu dilihat sebagai wadah melengkapkan pembentukan diri seseorang pelajar. Ia berperanan dalam menggalakkan perkembangan bakat, sifat kreativiti selain melonjak potensi murid ke tahap yang maksimum.

Malah ia sebenarnya adalah sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Kepentingannya setara dengan kurikulum kerana peranannya sebagai pelengkap sistem pembelajaran.

Dalam hal ini, persefahaman antara sekolah dan ibu bapa sangat penting untuk membantu kelancaran kegiatan aktiviti kokurikulum. Sekiranya gagal, akan wujud kepincangan dari sudut pembentukan insan seimbang dalam kalangan murid. Lebih membimbangkan, ia mampu memadamkan minat, bakat juga potensi murid untuk terbabit dengan kegiatan di luar silibus peperiksaan.

Murid akan kurang pergaulan berkomunikasi dengan rakan sebaya sehingga melenyapkan nilainilai kepimpinan, kebolehan membuat keputusan, perpaduan dan kerjasama.

Pentingnya kokurikulum dalam membentuk kemahiran insan

1. Penyertaan dalam kokurikulum membuatkan mereka belajar mengendalikan diri menerusi maklum balas spontan daripada rakan orang lain. Kemahiran insaniah mereka akan berkembang dan teruji sama ada perlu bersabar atau memberi tindak balas secara negatif atau positif. Kecerdasan mengawal emosi seperti ini tidak dapat diajar secara formal sebaliknya murid perlu melaluinya sendiri. Begitu juga dengan kemahiran menyelesaikan masalah secara kritis dan kreatif selain kebolehpercayaan bekerjasama dengan rakan sebaya. Kemahiran insaniah yang kuat biasanya menjadikan seseorang murid serba boleh, beradab, baik dan beretika.

2. Penyertaan dalam kokurikulum adalah kesempatan untuk membantu murid membuat persediaan sebelum menempuhi alam kerjaya. Ia boleh dilihat sebagai asas kepada pengetahuan terhadap kerjaya pilihan.

3. Pengetahuan yang diperoleh daripada mata pelajaran akademik dapat diperkukuhkan dan diamalkan melalui aktiviti kokurikulum. Hal ini apabila kegiatan kokurikulum adalah ruang untuk murid memahami konsep latihan dalam bidang tertentu dengan menggunakan pengetahuan yang diperoleh secara lebih bermakna dan realistik. Justeru, dalam hal ini semua aktiviti kokurikulum hendaklah dirancang terlebih dahulu supaya selaras dan saling melengkapi dengan apa yang diajar di bilik darjah.

4. Kegiatan di sekolah sebenarnya adalah cerminan masyarakat di luar. Ia memupuk rasa kesedaran untuk memberi khidmat kepada masyarakat bukan hanya dalam kalangan murid tetapi juga guru. Ia membantu memupuk hubungan dua hala antara sekolah dan masyarakat serta menyemai semangat berkhidmat, bekerjasama dan saling membantu antara satu sama lain.

5. Satu lagi hal yang tidak boleh dinafikan, kegiatan kokurikulum adalah kaedah kita mendidik anak-anak untuk mengisi masa lapang mereka dengan berfaedah serta membina kesihatan fizikal dan mental. Selain ia berupaya memberi keseronokan kepada murid. Antaranya aktiviti seperti bersukan, bertani, menanam bunga, menghias malah menyanyi dan bermain alat muzik. Kelab seni misalnya merangsang minat terhadap kerja kreatif misalnya sajak, cerpen juga lukisan atau ukiran.

6. Kegiatan kokurikulum juga memberi peluang kepada pelajar melatih diri untuk berdisiplin, berfikiran secara terbuka, memupuk minat dan mencungkil bakat serta membina personaliti diri untuk menghayati nilai perpaduan dan kewarganegaraan sebagai persediaan untuk berhadapan dengan masa depan.

Menerusi perbincangan di atas, kita juga perlu sedar kegiatan aktiviti kokurikulum berfungsi sebagai medium untuk menghilangkan tekanan murid kerana bersifat merentas disiplin, bersepadu dan tidak bersifat eksklusif.

Oleh sebab itu, kegiatan kokurikulum masih sangat relevan dan diperlukan murid sebagai penyembuh rohani untuk ketenangan masa kini dan persediaan masa depan.

Penulis adalah Guru SK Bukit Kemuning 2

Berita Harian X