Isnin, 21 March 2022 | 6:26pm
Naib Canselor UTeM yang baharu, Prof Dr Massila Kamlrudin. - Foto UTeM
Naib Canselor UTeM yang baharu, Prof Dr Massila Kamlrudin. - Foto UTeM

Massila Naib Canselor UTeM kelima

AYER KEROH: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengumumkan Prof Dr Massila Kamalrudin sebagai Naib Canselornya yang baharu menggantikan Prof Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim, berkuat-kuasa hari ini.

Pelantikan untuk tempoh tiga tahun itu menjadikan Massila, 41 sebagai Naib Canselor UTeM kelima dan individu kedua dalam kalangan wanita yang menerajui kepemimpinan universiti terbabit, sekali gus dalam kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

Dalam kenyataan UTeM hari ini, Massila memulakan kerjayanya di UTeM pada tahun 2004 sebagai Tutor di Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) serta pernah menjawat beberapa jawatan pentadbiran, antaranya sebagai Penyelaras dan Pengurus Centre of Excellence (CoE) UTeM (Mei 2014 hingga Mei 2017) dan Timbalan Dekan Institut Pengurusan Teknologi dan Keusahawanan (Jun 2017 hingga September 2020).

Beliau mempunyai aspirasi dan strategi yang jelas untuk menyuntik perubahan positif dalam landskap pentadbiran dan pengurusan UTeM serta memperkukuhkan aspek pembangunan institusi dan akademik UTeM sebagai sebuah universiti teknikal yang disegani dan dikagumi.

Massila yang berasal dari Banda Hilir, di sini memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2003, Ijazah Sarjana dalam bidang Teknologi Perisian dari University of Wales Swansea, United Kingdom, seterusnya memperoleh Ijazah Kedoktoran dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik pada 2011 dari The University of Auckland, New Zealand.

Beliau terbabit secara aktif dalam bidang penyelidikan dan inovasi, penulisan jurnal, pelbagai persidangan dan seminar serta aktiviti konsultansi bagi beberapa agensi kerajaan dan syarikat yang memberikan impak tinggi kepada negara dan dunia.

Susulan daripada sumbangannya kepada universiti dan negara, maka beliau menerima banyak anugerah dan pengiktirafan peringkat nasional dan global antaranya, Malaysian Young Women Scientist 2020 oleh Persatuan Reka Cipta dan Reka Bentuk Malaysia (MINDS) Malaysia.

Sehubungan itu, UTeM mengucapkan syabas dan tahniah atas pelantikan ini selain merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Raha atas khidmat bakti dan kepimpinan beliau sepanjang memegang jawatan sebagai Naib Canselor UTeM sebelum ini.

Berita Harian X