Selasa, 15 March 2022 | 8:30am
Proses kemasukan pelajar baharu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sesi kedua sidang 2021/2022 berjalan lancar semalam. - Foto UPSI
Proses kemasukan pelajar baharu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sesi kedua sidang 2021/2022 berjalan lancar semalam. - Foto UPSI

UPSI terima 665 pelajar baharu

KUALA LUMPUR: Proses kemasukkan pelajar baharu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sesi kedua sidang 2021/2022 berjalan lancar semalam dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata proses perdaftaran pelajar baharu berjalan lancar dan kesemua pelajar ditempatkan di Kolej Ungku Omar serta Kolej Harun Aminurrashid, Kampus Sultan Azlan Shah, yang terletak di Proton City.

"Saya berharap semua pelajar dan kakitangan bertugas dapat menjaga kesihatan selain sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Tahniah dan selamat datang ke UPSI yang juga institusi pendidikan tinggi tersohor dalam negara," katanya.

Pendaftaran pelajar ambilan Mac itu membabitkan seramai 665 orang termasuk 200 pelajar dari Sabah dan Sarawak.

Selain pendaftaran pelajar baharu, UPSI turut menerima kehadiran pelajar semester dua yang menyertai pasukan beruniform Siswa Siwi Pertahanan Awam (SISPA) dan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) seramai 423 orang.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Norkhalid Salimin, berkata UPSI sebagai universiti nombor satu pendidikan akan melakukan terbaik dalam melahirkan anak bangsa yang bitara dan menepati ciri pendidik cemerlang.

"Alhamdulillah, saya bertemu dan beramah mesra dengan beberapa keluarga dan mendapati kesemuanya meluahkan rasa gembira kerana berjaya mendapat tempat di UPSI," katanya.

Hadir sama, ketika sesi pendaftaran pelajar adalah Pengetua Kolej Ungku Omar, Prof Madya Dr Mohd Nizam Nasrifan, Pengetua Kolej Harun Aminurrashid, Dr Che Anuar Che Abdullah dan Timbalan Pendaftar Kanan, Maskana Ahmad.

Berita Harian X