Selasa, 1 March 2022 | 11:55am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Persediaan melangkah ke sekolah menengah

Peralihan dari sekolah rendah ke menengah bukan hanya menandakan pertambahan usia tetapi persediaan murid dari segi mental dan fizikal untuk mengharungi hidup sebagai individu awal remaja.

Walaupun mungkin murid sudah bersekolah sejak usia empat tahun tetapi peralihan ke sekolah menengah lebih menuntut kematangan dan persediaan untuk belajar lebih gigih.

Bagi ibu bapa, mungkin melihat anak melangkah ke alam remaja membawa beg yang lebih besar daripada tuannya pasti memberikan rasa kesayuan. Namun bagi murid, pengalaman baharu itu mungkin lebih mencabar jika mereka perlu memulakan kehidupan sebagai pelajar sekolah asrama. Untuk murid sekolah harian biasa, perubahan akan lebih dirasai dari segi suasana dan pembelajaran yang bakal dihadapi.

Jika di sekolah rendah mereka dianggap sebagai kanak-kanak, permulaan Tingkatan Satu adalah awal remaja. Justeru memasuki Tingkatan Satu bermaksud murid perlu fokus kepada matlamat dan apa yang ingin dicapai.

Zaman kanak-kanak adalah satu fasa di mana mereka memerhati dan belajar daripadanya. Bagaimana orang dewasa melakukan keputusan, corak komunikasi dan cara menangani sesuatu perkara akan diperhatikan dan ditiru oleh mereka. Pada fasa ini, membuat keputusan untuk sesuatu perkara adalah bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa ataupun orang dewasa di sekeliling mereka.

Perubahan psikologi

Apabila memasuki sekolah menengah, ia adalah permulaan bagi fasa untuk mereka mencari identiti diri dan membentuk personaliti diri yang dirasakan bersesuaian.

Ketika ini, rakan menjadi pengaruh dan model ikutan bagi anak-anak sekiranya mereka tidak diawasi dan didekati oleh ibu bapa.

Apabila berlaku peralihan ke fasa remaja, apa yang diperhatikan sebelum ini akan dipraktikkan dan cuba untuk dijadikan personaliti diri.

Jika dilihat realiti pada masa kini, anak remaja di usia begini mudah terikut dengan perkembangan semasa dan cuba untuk mencari identiti diri yang dirasakan bersesuaian.

Pada fasa inilah bermacam-macam kreativiti anak-anak dalam membentuk personaliti diri yang kadangkala boleh membuatkan orang dewasa menggelengkan kepala.

Perubahan pembelajaran

Dari segi subjek, jika di sekolah rendah belajar Matematik, Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Sejarah antara subjek utama, di sekolah menengah mata pelajarannya lebih banyak dengan penekanan yang lebih dalam.

Asas pembelajaran di sekolah rendah boleh membantu murid, namun ada subjek yang mungkin baru dipelajari dan lebih mencabar misalnya Reka Bentuk Teknologi. Lebih banyak subjek lebih menekan tetapi kekal tenang.

Murid perlu pantas untuk memahami pelajaran dan jangan lagi bermalas-malas. Ada banyak kaedah untuk menambah pengetahuan selain buku teks atau apa yang diajar guru. Terdapat perkongsian subjek yang dibuat secara terbuka di laman sosial yang boleh membantu meningkatkan kefahaman anda. Rajinlah bertanya jika tidak faham

sama ada kepada guru atau rakan. Jangan biarkan diri anda terus tidak faham subjek itu kerana ia akan melambatkan proses pembelajaran.

Bimbingan ibu bapa

Bagi ibu bapa, walaupun anak-anak ini sudah meningkat dewasa, mereka masih mempunyai naluri untuk dimanjakan dan dibelai. Amat penting untuk ibu bapa mendekati dan sentiasa berbual dengan anak-anak bagi memastikan mereka sentiasa percaya dan bersifat terbuka dengan ibu bapa.

1. Kepesatan teknologi maklumat dan penyebaran maklumat yang terlalu pantas membuatkan pengawalan terhadap sesuatu perkara agak sukar untuk dilakukan. Justeru itu, ibu bapa perlu lebih fleksibel dan menjadi rakan kepada anak remaja bagi memastikan sebarang informasi yang mereka dapat akan dikongsikan bersama. Ia juga antara kaedah pengawasan secara tidak langsung oleh ibu bapa.

2. Kritikan dan respon yang diberikan kepada anak janganlah bersifat negatif kerana ia akan hanya meningkatkan sifat memberontak dalam diri anak remaja dan mungkin boleh menjauhkan mereka dari pengawasan ibu bapa.

3. Beri ruang untuk anak-anak ini mencari personaliti diri yang bersesuaian adalah sangat penting bagi meningkatkan perasaan tanggungjawab terhadap diri sendiri. Bagaimanapun ia bukan bermaksud ibu bapa perlu membiarkan

anak remaja ini tanpa pemantauan. Sebaliknya perlu dibuat dengan pemerhatian dan bimbingan yang bersesuaian.

Panduan untuk murid

  • Kenal pasti rakan yang bersesuaian. Di peringkat ini remaja lebih terpengaruh

    dengan kawan sekeliling berbanding ibu bapadan guru.

  • Cuba untuk menyesuaikan diri dengan perubahan pembelajaran. Hal ini kerana subjek di sekolah rendah dan menengah agak berbeza selain tentunya lebih mencabar.
  • Menghormati pelajar yang lebih tua. Elakkan perselisihan faham dan kecenderungan untuk dibuli.
  • Sentiasa menghormati guru.
  • Menepati masa datang ke sekolah.
  • Mengemaskini dan menyusun atur barang keperluan untuk ke sekolah lebih awal bagi mengelakkan tertinggal buku ataupun alat tulis yang diperlukan.
  • Mencari dan mengenalpasti mata pelajaran yang diminati bagi meningkatkan perasaan gembira untuk ke sekolah.
  • Sentiasa berkongsi dengan ibu bapa ataupun sesiapa yang dipercayai mengenai isu yang dihadapi di sekolah. Ini bagi membantu untuk mengurangkan tekanan.
  • Menyelesaikan sesuatu urusan tanpa perlu bertangguh. Siapkan kerja rumah sekiranya ada waktu terluang di sekolah.
  • Sentiasa ingatkan diri apakah tujuan datang ke sekolah.

Panduan untuk ibu bapa

  • Beri ruang untuk anak menjadi dewasa dan bertanggungjawab pada diri sendiri.
  • Sentiasa bersedia untuk mendengar keluhan ataupun cerita yang disampaikan.
  • Memberi sokongan kepada anak.
  • Menyedari bahawa anak sedang memasuki fasa remaja, peranan ibu bapa perlu lebih fleksibel dan pelbagai.
  • Membantu anak dalam proses adaptasi di sekolah baharu. Berkongsilah pengalaman, cerita dan panduan yang bersesuaian.
Berita Harian X