Rabu, 23 Februari 2022 | 3:47pm
Kampus UPTM di Kuala Lumpur. Universiti itu juga mempunyai beberapa lagi kampus cawangan.
Kampus UPTM di Kuala Lumpur. Universiti itu juga mempunyai beberapa lagi kampus cawangan.

Universiti Poly-Tech Malaysia satu lagi IPT bawah MARA

KUALA LUMPUR: Kolej Universiti Poly-Tech MARA yang dinaik taraf sebagai universiti penuh, kini dikenali sebagai Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata penubuhan sebuah lagi universiti di bawah MARA pelengkap ekosistem pendidikan tinggi yang berfokus kepada perniagaan dan perakaunan.

"Institusi pengajian tinggi ini sememangnya aktif dalam menjalankan aktiviti penyelidikan dan inovasi pada peringkat nasional dan antarabangsa.

"Dengan penubuhan UPTM, sektor pendidikan tinggi negara diperlihat pada landasan betul yang dapat merealisasikan dan mendokong Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia bagi Pendidikan Tinggi 2015-2025, seterusnya membangunkan modal insan serta melahirkan graduan bertaraf global," katanya di sini, hari ini.

Kolej Poly-Tech MARA ditubuhkan pada tahun 1987 yang kemudiannya dinaik-taraf kepada kolej universiti pada 2015.

Mahdzir berkata, Kementerian Pengajian Tinggi memberi kelulusan penubuhan universiti itu pada Mac 2021 dengan beberapa syarat, sebelum pendaftaran taraf universiti penuh.

Universiti itu menawarkan 14 program ijazah sarjana muda, empat program sarjana dan dua ijazah doktor falsafah (PhD).

Berita Harian X