Sabtu, 19 Februari 2022 | 7:22pm

'Jangan tunggu dan lihat terlalu lama'

BATU PAHAT: Ibu bapa diharap tidak terlalu lama memegang pendirian 'tunggu dan lihat' berhubung keputusan membenarkan anak mereka divaksin.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata kebanyakan ibu bapa cenderung untuk menunggu kerana beberapa faktor termasuk keselamatan dan keberkesanan vaksin terhadap anak mereka.

"Saya lihat masih ramai nak tunggu dan lihat, maka saya harap jangan terlalu lama kerana kita tak mahu terdedah walaupun kes kemasukan ke hospital kanak-kanak tidak tinggi seperti orang dewasa.

"Saya tidak tidak mahu anak-anak kita terdedah kepada COVID-19," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke sebuah klinik swasta yang menyediakan perkhidmatan Skim Peduli Kesihatan Untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau turut melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di sebuah pusat beli-belah untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).

Khairy berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) akan meningkatkan kapasiti PICKids kepada 1,000 sehari bermula minggu depan.

Walaupun kes kematian dan kemasukan ke hospital dalam kalangan kanak-kanak tidak begitu tinggi berbanding orang dewasa, beliau berkata, ia tidak mustahil untuk berlaku.

Katanya, ada juga yang dimasukkan ke hospital kerana mengalami gejala serius seperti Multi-System Inflammatory Syndrome in Children (MIS-C).

"Kita akan memberi kapasiti lebih tinggi terhadap vaksinasi kanak-kanak dan tadi saya nampak ramai juga yang mendapatkan dos penggalak bagi melindungi diri untuk mengekalkan status vaksinansi lengkap pada 1 Mac ini," katanya.

Statistik semasa menunjukkan pendaftaran mendapatkan vaksin kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun hanya berkadar 15 peratus sejak dibuka kepada orang ramai, sekali gus dilihat masih di tahap membimbangkan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, meninjau Klinik Kurnia (PeKa B40) di Batu Pahat, Johor. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, meninjau Klinik Kurnia (PeKa B40) di Batu Pahat, Johor. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Berita Harian X