Sabtu, 19 Februari 2022 | 4:35pm
Sesi menandatangani dokumen MoU yang disempurnakan oleh Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Ts Dr Roziah Janor (dua dari kiri) manakala PTPTN diwakili Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid (dua dari kanan) dan disaksikan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn (tengah). NSTP/Ihsan UiTM
Sesi menandatangani dokumen MoU yang disempurnakan oleh Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Ts Dr Roziah Janor (dua dari kiri) manakala PTPTN diwakili Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid (dua dari kanan) dan disaksikan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn (tengah). NSTP/Ihsan UiTM

UiTM, PTPTN jalin kerjasama strategik tingkat literasi kewangan, keusahawanan

KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini, menjalinkan kerjasama strategik meningkatkan literasi kewangan dan keusahawanan dengan menandatangani perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU).

Kedua-dua institusi itu dalam satu kenyataan bersama berharap, MoU itu dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dalam membudayakan penabungan awal melalui simpanan pendidikan.

"Pada masa sama, kerjasama ini juga diharap dapat membangunkan modal insan kepada pelajar UiTM melalui inisiatif program kemahiran yang berkualiti supaya graduan dapat memenuhi keperluan industri apabila tamat pengajian nanti," katanya.

Dalam majlis MoU yang diadakan di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Kuching, Sarawak, UiTM diwakili oleh Naib Canselor, Prof Datuk Ts Dr Roziah Janor, manakala PTPTN oleh Ketua Eksekutifnya, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Turut hadir, Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Prof Datuk Dr Jamil Hamali dan Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid.

Menerusi MoU itu, UiTM dan PTPTN juga akan berganding bahu menjalankan program literasi kewangan dan keusahawanan dalam kalangan pelajar.

Katanya, literasi kewangan dan keusahawanan amat penting khususnya untuk generasi muda kerana kegagalan merancang kewangan boleh menyebabkan golongan itu menghadapi masalah kewangan dalam kehidupan.

"Program keusahawanan pula menggalakkan pelajar untuk menubuhkan perniagaan sendiri yang boleh menjadi sumber pendapatan utama tanpa perlu bergantung kepada pekerjaan dalam sektor kerajaan atau swasta yang amat sengit persaingannya," katanya.

Katanya, aktiviti yang bakal dijalankan termasuk seminar dan webinar pengurusan kewangan dan taklimat kerjaya untuk melahirkan pelajar yang lebih berkualiti dan memenuhi kehendak industri.

Namun katanya, aktiviti itu tidak terhad kepada pelajar sahaja tetapi turut membabitkan graduan dan alumni UiTM.

"Selain itu, kerjasama penyelidikan khususnya dalam bidang kewangan juga akan dijalankan oleh UiTM dan PTPTN," katanya.

Justeru, katanya, dengan UiTM yang sudah lama diakui memiliki kekuatan kepakaran dalam bidang pengurusan perniagaan dan kewangan, manakala PTPTN mempunyai pengalaman yang luas dalam pengurusan pinjaman pelajar, ia menjadikan kerjasama penyelidikan mampu menghasilkan idea baharu, khususnya dalam bidang perancangan kewangan.

Berita Harian X