Jumaat, 14 Januari 2022 | 9:59pm
Sebahagian sukarelawan UKM meneruskan khidmat membantu membersihkan rumah mangsa banjir di Selangor - Foto NSTP/UKM
Sebahagian sukarelawan UKM meneruskan khidmat membantu membersihkan rumah mangsa banjir di Selangor - Foto NSTP/UKM

Pusat Perhubungan Alumni UKM bantu mangsa banjir

KUALA LUMPUR: Pusat Perhubungan Alumni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini, meneruskan misi kemanusiaannya untuk membantu mangsa banjir di empat lokasi sekitar Selangor.

Misi Bantuan Kasih 7.0 Lembah Klang itu dibuat bagi menyampaikan sumbangan 1,000 pek keperluan asas kepada mangsa banjir di Taman Sri Nilam, Hulu Langat; Bukit Lanchong dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) HICOM, Shah Alam serta Bukit Tadom, Banting.

Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UKM, Prof Dr Mohd Syuhaimi Ab Rahman, berkata seramai 100 sukarelawan terdiri daripada alumni dan warga UKM digerakkan bagi kerja pembersihan dan mengecat bangunan terjejas akibat banjir, baru-baru ini.

Beliau berkata, misi itu turut mendapat kerjasama Kelab Sukan dan Kebajikan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (KESUTRA), Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PERTADI) serta beberapa pusat tanggungjawab lain di universiti.

"UKM terbina atas desakan rakyat, oleh itu hutang jasa kami terhadap masyarakat tidak terbalas selamanya dan selagi keringat masih ada, kami akan sentiasa membayarnya.

"Misi ini mendapat tajaan daripada beberapa syarikat, antaranya milik alumni UKM iaitu Affin Bank, Yayasan Khalifah, MySutera Sdn Bhd, Gading Kencana Sdn Bhd, Honeytree Pharmacy dan MS Gigih Sdn Bhd.

"Turut bergerak seiringan dengan UKM adalah Majlis Perbandaran Kajang yang menyediakan kemudahan pengangkutan dan tenaga kerja bagi menjalankan kerja pembersihan di kawasan banjir," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UKM, Dr Hilwa Abdullah, berharap sumbangan itu mampu meringankan beban mangsa banjir, selain meminta masyarakat bersabar dengan ujian yang menimpa mereka.

"Misi Bantuan Kasih ini ditubuhkan bagi membantu masyarakat terkesan akibat fenomena alam dan pandemik COVID-19. Ia adalah pelantar bagi menganjak alumni untuk turun bersama universiti bagi membantu masyarakat.

"Sehingga kini jumlah keseluruhan kutipan termasuk barangan sumbangan mencecah RM250,000 yang bermula daripada misi pertama di Kelantan kemudian bergerak ke negeri lain seperti Pahang, Perak dan Selangor," katanya.

Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman, pula mengucapkan tahniah kepada Pusat Perhubungan Alumni yang terus membawa nama UKM bersama alumni bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.

Berita Harian X