Rabu, 5 Januari 2022 | 10:51am
Antara 1,200 sukarelawan UKM menyertai misi membantu membersihkan rumah mangsa banjir di Hulu Langat sebelum ini- Foto NSTP/ihsan UKM
Antara 1,200 sukarelawan UKM menyertai misi membantu membersihkan rumah mangsa banjir di Hulu Langat sebelum ini- Foto NSTP/ihsan UKM

UKM sumbang RM700,000, sukarelawan

KUALA LUMPUR: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyalurkan sumbangan sebanyak RM700,000 selain bantuan tenaga sukarelawan di beberapa kawasan Selangor dalam usaha meringankan beban mangsa banjir yang terjejas akibat bencana itu baru-baru ini,.

Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman, berkata sumbangan itu adalah hasil kutipan yang diperoleh daripada pelbagai agensi kerajaan, alumni, dan pihak luar.

Katanya, semua hasil kutipan diserahkan kepada mangsa banjir yang kerosakan rumah dan harta benda sepanjang tempoh 14 hari misi bantuan itu.

"Lebih 2,000 sukarelawan UKM terdiri daripada kakitangan dan pelajar menghulurkan bantuan bagi meringankan bebanan mangsa banjir.

"Saya bersyukur kerana kita berjaya mengumpul sumbangan berbentuk wang ringgit dalam masa yang cepat dan pantas. Sememangnya kita perlu bertindak dengan pantas kerana dalam situasi genting ini, mangsa banjir amat memerlukan bantuan masyarakat," katanya.

Berikutan hujan lebat yang melanda negara pada 18 November lalu, beberapa kawasan di Selangor mengalami banjir besar sekaligus menyebabkan banyak kawasan ditenggelami air.

Sehubungan itu, UKM mengenal pasti beberapa tempat di Selangor dan menghantar bantuan dengan segera.

Kawasan yang terbabit adalah Salak Tinggi, Hulu Langat, Dengkil, Gombak, Klang, Shah Alam, Hulu Selangor, Banting, Kuala Langat, dan Kuala Selangor.

Beliau berkata, UKM tidak lupa untuk turut turun padang menyalurkan sumbangan dan bantuan kepada mangsa banjir di Jelebu dan Mantin di Negeri Sembilan, Temerloh, Pahang dan Yan, Kedah.

Mohd Ekhwan berkata sebagai sebuah universiti watan, UKM prihatin dengan keperluan komuniti sekitar dan juga di seluruh negara.

Lebih menarik lagi, misi itu turut disertai oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang turun di beberapa lokasi bagi sama-sama menghulurkan bantuan.

Beberapa wakil pengurusan tertinggi UKM seperti Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat (JIAM) UKM, Prof Datuk Dr Norazah Nordin dan Pengarah HEP UKM, Prof Madya Dr Roslee Rajikan yang turut terbabit sebagai sukarelawan dalam misi bantuan banjir tersebut.

Berita Harian X