Rabu, 29 Disember 2021 | 11:17pm
Johari melawat lab teknologi keselamatan pada majlis pelancaran program CSR Smart College "Community English Language learning @Pandan" di Smart College Kampung Pandan. - Foto NSTP/ROHANIS SHUKRI
Johari melawat lab teknologi keselamatan pada majlis pelancaran program CSR Smart College "Community English Language learning @Pandan" di Smart College Kampung Pandan. - Foto NSTP/ROHANIS SHUKRI

Kolej SMART tawar kelas percuma

KUALA LUMPUR: Kolej SMART menawarkan Program Pembelajaran Bahasa Inggeris bagi Komuniti (CELL) untuk membantu penduduk setempat menguasai bahasa berkenaan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kolej SMART, Anand Pon, berkata program berkenaan ditawarkan secara percuma kepada pelajar sekolah menengah di sekitar Kampung Pandan.

Beliau berkata, program berkenaan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat Kolej SMART yang menggabungkan pembelajaran bahasa Inggeris dan komunikasi menerusi persembahan teater.

"CELL mengetengahkan kaedah pengajaran diperkenal ahli psikologi dan pengajar, Charles Curren yang menggunakan prinsip terapi kaunseling. Ia menggalakkan pembelajaran melalui kumpulan, interaksi sesama pelajar.

"Kita menyasarkan untuk membuka sebanyak 10 kelas yang masing-masing akan memuatkan 20 pelajar dengan setiap kumpulan akan menjalani pembelajaran selama tiga bulan.

"Kita juga menyasarkan untuk memperluaskan CELL ke kawasan lain, pada masa depan," katanya pada sidang media Majlis Pelancaran CELL dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Akademi Sekuriti Plus dan rakan strategik bagi Program Skim Latihan Dua Nasional di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Yayasan Bena Nusa, Datuk Seri Johari Ghani dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia, Kamaruzaman Mad Ali.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah Kolej SMART, Mejar Jeneral (B) Datuk Mohd Yunus Long, Susan George Valladares dan Alexander David Pon.

Johari selepas majlis pelancaran program CSR Smart College "Community English Language learning @Pandan" di Kampung Pandan, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/ROHANIS SHUKRI
Johari selepas majlis pelancaran program CSR Smart College "Community English Language learning @Pandan" di Kampung Pandan, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/ROHANIS SHUKRI

Berita Harian X