Selasa, 28 Disember 2021 | 10:30am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Empat langkah atasi isu beg sekolah berat

ISU beg berat bukanlah masalah baharu. Namun saban tahun ia menjadi polemik yang tidak berkesudahan. Malah kali ini lebih hebat apabila terdapat warga pendidik yang dipanggil ke Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menjelaskan kenyataan yang dibuat secara terbuka mengenai isu berkenaan.

Apa pun yang jelas, isu ini masih berulang dan semacam tiada kesudahan terutama pada awal pembukaan sesi persekolahan. Persoalan yang timbul memerlukan usaha berterusan dan serius untuk ditangani oleh semua pihak terutama KPM, Persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) dan masyarakat seluruhnya bagi memastikan murid tidak terus terbelenggu dengan isu beg berat.

Jadi sebenarnya berapakah berat beg yang ideal? Pakar kesihatan menggariskan berat maksima bagi beg sekolah yang digalas adalah sebanyak 10 peratus dan beg yang ditarik pula, adalah sebanyak 20 peratus berbanding dengan berat badan murid.

Sebagai contohnya, jika berat badan murid 20 kilogram (kg) maka had berat maksima beg yang digalas adalah di bawah dua kg, sementara berat beg yang ditarik pula adalah di bawah empat kg.

Garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ini penting untuk dipatuhi kerana murid yang membawa beg berat berlebihan untuk tempoh yang lama boleh terjejas perkembangan tumbesaran dan kesihatannya.

Kesedaran formula berat badan dan beg yang digalas perlu diketahui umum terutama pihak pentadbir, guru dan ibu bapa. Ini akan memudahkan pihak sekolah memantau murid yang membawa beg berat yang berlebihan.

Penetapan had maksima beg sekolah boleh dilakukan dengan mudah sekiranya ia dijadikan dasar di sekolah. Dengan kata lain, sekiranya murid membawa beg galas melebihi had berat badan, maka menjadi tanggung jawab ibu bapa dan guru untuk melihat kandungan beg yang dibawa oleh murid ke sekolah.

Keprihatinan ibu bapa amat penting sebelum murid ke sekolah selain disertai dengan penegasan guru untuk memastikan tiada isu beg berat berulang.

Pihak KPM dan KKM boleh membuat pengesahan mengenai had dan formula yang perlu bagi setiap murid dalam menangani isu beg berat. Kempen yang berterusan akan menimbulkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa, murid dan masyarakat. Iklan mudah dengan grafik yang menarik mengenai formula berat badan dan bebanan beg ke sekolah boleh diperluaskan dengan penggunaan media sosial melalui organisasi yang terbabit. Secara tidak langsung masyarakat menyedari situasi itu wujud dan ia dapat ditangani dengan baik. Selain itu, terdapat beberapa kaedah yang boleh digunakan dalam mengatasi isu ini termasuklah;

1. Penggunaan loker

Saranan penggunaan loker di sekolah antara tindakan yang baik namun mengenakan jumlah bayaran untuknya semacam tidak adil bagi murid yang kurang berkemampuan. Dalam hal ini PIBG perlu campur tangan supaya supaya murid dibekalkan secara percuma. Keutamaan loker percuma sewajarnya diberikan kepada murid sekolah rendah Tahun Tiga ke bawah. Namun penggunaan loker bagi mengatasi isu beg berat bukanlah suatu penyelesaian yang baik untuk jangka panjang.

2. Kaji silibus, buku teks

Bahagian Dasar dan Kurikulum KPM perlu mengkaji semula jumlah mata pelajaran yang perlu diambil. Hal ini kerana setiap subjek memerlukan bukan hanya buku teks tetapi juga buku latihan tambahan.

Sudah tiba masanya pihak yang terbabit dengan kurikulum di KPM melihat lambakan buku teks dengan setiap mata pelajaran ini dinilai semula. Sebagai contohnya, buku teks Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) tidak perlu dibekalkan kepada murid kerana mata pelajaran ini adalah pergerakan psikomotor di padang. Subjek kesihatan pula boleh diserapkan ke dalam mata pelajaran Sains.

Seperkara lagi ialah, penggunaan buku teks yang terlalu tebal. Buku teks yang terlalu tebal sudah tidak relevan pada masa kini. Ini kerana kajian mendapati buku tebal tidak akan habis diajar oleh guru pada setiap tahun. Faktor utama yang menghalang ialah guru juga terpaksa berdepan dengan buku latihan tambahan dan dalam masa yang sama merujuk buku teks tebal untuk menjayakan sesi pembelajaran.

3. Penggunaan buku elektronik

Hari ini dengan dunia tanpa sempadan, isu beg berat tidak sepatutnya berlaku kerana murid boleh mendapatkan maklumat secara maya. Sekiranya di peringkat universiti pelajar boleh menggunakan internet untuk mendapat ilmu dan maklumat, kenapa tidak ia juga digunakan juga pada peringkat sekolah rendah dan menengah. Buku teks secara maya boleh diakses di mana-mana pada bila-bila masa berdasarkan kemudahan teknologi dan ia boleh dipertimbangkan dengan sebaik mungkin. Di samping itu, buku teks juga boleh dibuat dalam bentuk digital dan disimpan secara maya bagi mengurangkan berat beg ke sekolah.

4. Penekanan pada 3M

Satu langkah yang perlu dilihat dengan lebih teliti adalah kurikulum peringkat sekolah rendah sewajarnya menekankan kemahiran 3 M iaitu, kemahiran membaca, menulis dan mengira. Inilah tunjang pendekatan pendidikan awal sekolah rendah yang berpaksikan kepada pembangunan potensi dan akhlak mulia. Hal ini boleh dicapai dengan tumpuan khusus terhadapnya dan bukannya dengan memperbanyakkan jumlah mata pelajaran.

Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya

Berita Harian X