Rabu, 15 Disember 2021 | 6:29pm
 Naib Canselor UMT, Prof Dr Mazlan Abd Ghaffar
Naib Canselor UMT, Prof Dr Mazlan Abd Ghaffar

UMT kaji peluang, strategi pembangunan hab logistik pantai timur

KUALA LUMPUR: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memeterai perjanjian persetujuan dengan Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) bagi menjalankan kajian berkaitan peluang dan strategi pelaksanaan pembangunan hab logistik pantai timur di Terengganu.

Naib Canselor UMT, Prof Dr Mazlan Abd Ghaffar, berkata kerjasama itu membabitkan kajian berkaitan faktor menyumbang kepada peningkatan ekonomi Terengganu.

"UMT adalah universiti berfokus maritim yang mempunyai aset penyelidikan dan sumber kepakaran dalam bidang itu serta kelautan.

"Projek ini bertujuan mengenal pasti faktor utama yang mempengaruhi pembangunan hab logistik di pantai timur Semenanjung Malaysia, selain mengkaji hubungan di antara pelabuhan dengan hab logistik dan implikasi terhadap pembangunan wilayah," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, UMT melalui Fakulti Pengajian Maritim berjaya menubuhkan Jurnal Logistik Maritim (JML) bagi penerbitan kajian ilmiah khusus dalam bidang logistik dan pengurusan maritim berkualiti yang turut menyumbang kepada penjenamaan universiti awam (UA) itu.

"JML akan menjadi platform pengumpulan artikel ilmiah mengenai topik berkaitan isu dalam industri maritim terutama hasil penyelidikan dan analisis terkini perkapalan dan pelabuhan.

"Ia juga membabitkan beberapa bidang utama termasuk logistik, dasar, operasi, logistik, pengurusan dan navigasi yang berkait rapat dengan tiga agenda utama iaitu aktiviti lautan, pelabuhan laut dan kawasan pedalaman.

"Sebagai sebuah UA yang sering dijadikan rujukan, saya mengalu-alukan dan sentiasa bersedia berkolaborasi dengan agensi luar demi kemajuan serta manfaat bersama yang akhirnya memberi impak baik kepada komuniti juga Terengganu," katanya.

Berita Harian X