Selasa, 14 Disember 2021 | 10:00am
Skuad Sukarelawan Cikgu ketika ketika menyampaikan sumbangan di Ladang Escort, Hulu Selangor. - Foto ihsan SSC
Skuad Sukarelawan Cikgu ketika ketika menyampaikan sumbangan di Ladang Escort, Hulu Selangor. - Foto ihsan SSC

Kesukaran hidup murid, sentuh hati guru

Hulu Selangor: Terkesan dengan kesukaran hidup yang dialami pelajar mereka menyebabkan sekumpulan guru di sini menggunakan wang gaji sendiri untuk memberi bantuan sejak lima tahun lalu.

Malah mereka yang menggelarkan diri Skuad Sukarelawan Cikgu itu aktif menghulurkan bantuan berupa barangan keperluan harian murid di sekitar Daerah Hulu Selangor, Selangor dan Muallim, Perak.

Kumpulan guru itu, J Sivarajan, I Kutty Krishnan, M Vijayakumar, dan J Mohana, masing-masing mengajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil di Hulu Bernam dan Hulu Selangor.

Sivarajan berkata, usaha itu bermula lima tahun lalu selepas melihat kesusahan yang dialami pelajar mereka. Ia kemudiannya diteruskan dengan meluaskan lagi bantuan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan tanpa mengira kaum dan agama.

"Sebelum bagi bantuan, kami buat sedikit semakan status latar belakang murid dan kedudukan ekonomi keluarga mereka melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkaitan.

"Sedaya upaya kami cuba membantu murid yang terjejas dan tidak bermaksud untuk mengambil alih tugas mana-mana pihak.

"Kami melihat ini juga sebahagian usaha untuk merapatkan lagi hubungan pihak sekolah dengan ibu bapa murid dan PIBG sekolah berkenaan," katanya.

Katanya, disebabkan mereka hanya dianggotai empat orang guru sumbangan yang boleh diberikan agak terhad iaitu RM200 untuk setiap keluarga.

Berita Harian X