Selasa, 23 November 2021 | 12:45pm
Prof Dr Mohamad Hariri Abdullah (kiri) dan Prof Dr Norazah Abd Rahman. - Foto Ihsan Uitm
Prof Dr Mohamad Hariri Abdullah (kiri) dan Prof Dr Norazah Abd Rahman. - Foto Ihsan Uitm

UiTM terima dua Timbalan Naib Canselor baharu

SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerima pelantikan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) serta Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni) yang baharu berkuat kuasa, semalam.

UiTM dalam kenyataan memaklumkan, Prof Dr Norazah Abd Rahman, 55, dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) menggantikan Prof Dr Mohd Nazip Suratman.

Manakala Prof Dr Mohamad Hariri Abdullah, 58, pula dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni) bagi menggantikan Prof Datuk Dr Rahmat Mohamad yang tamat tempoh pelantikannya pada 14 November lalu.

Menurut kenyataan itu, Norazah mempunyai latar belakang Kejuruteraan Kimia dan sudah berkhidmat bersama UiTM selama 31 tahun.

Beliau berpengalaman yang luas dalam bidang penyelidikan dan mengetuai serta memperoleh pelbagai geran penyelidikan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

"Beliau juga aktif dalam keahlian badan profesional seperti Energy Institute United Kingdom (UK), Institute of Chemical Engineering (IChemE) UK, Malaysian Non Destructive Testing Society dan lain-lain," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan, Mohamad Hariri pula adalah seorang pakar yang berpengalaman dalam bidang reka bentuk di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka yang sudah 30 tahun berkhidmat di UiTM.

Menurutnya, selain mempunyai keahlian profesional termasuklah Presiden PEREKA, Pengerusi Certified Industrial Designer MRM MITI, Mohamad Hariri juga memegang jawatan penting di pelbagai peringkat.

"UiTM mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi atas kedua-dua pelantikan ini. Semoga ia dapat membantu pihak universiti dalam meningkatkan dan memperkasa agenda penyelidikan, inovasi, melebar luas jaringan industri, komuniti dan alumni sejajar dengan hasrat dan matlamat pelan strategik UiTM2025.

"UiTM juga mengucapkan terima kasih kepada mantan Timbalan Naib Canselor atas khidmat dan kepimpinan sepanjang menyandang jawatan terbabit," kata kenyataan itu.

Berita Harian X