SHAH ALAM: Management and Science University (MSU) memperkenalkan sistem pensijilan menerusi teknologi 'Block Chain Certificate' pada Majlis Konvokesyen ke-28 universiti berkenaan yang bermula hari ini.
Presiden MSU, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid, berkata teknologi yang baru diperkenalkan itu akan dilancarkan secara rasmi pada Rabu ini iaitu pada hari terakhir majlis konvokesyen MSU.
Katanya, penggunaan teknologi Block Chain itu akan membabitkan semua peringkat pengajian bermula dari Sijil, Diploma, Sarjana Muda, Sarjana serta Doktor Falsafah (PHD).
"MSU bakal menjadi universiti pertama yang menggunakan 'Block Chain Certificate' ini di semua peringkat pengajian serta program dan saya maklum ada beberapa universiti sudah menggunakan teknologi ini tetapi bukan untuk keseluruhan program serta peringkat pengajian.
"Menerusi teknologi ini, graduan boleh melihat sijil masing-masing menerusi aplikasi mudah alih yang akan dimuat turun dan ia membabitkan graduan MSU di semua cawangan kampus, termasuk di kampus luar negara," katanya pada sidang media selepas Majlis Konvokesyen MSU ke-28 di sini hari ini.
Beliau berkata, walaupun terdapat teknologi baharu, pihak universiti akan meneruskan pemberian sijil 'hard copy' kepada graduan kerana ia adalah kenangan dan perlu diingati.
Mengulas lanjut, Mohd Shukri berkata, penggunaan teknologi itu juga akan dapat mengurangkan isu sijil palsu atau tipu yang mana akan terdapat kod QR pada sijil berkenaan yang boleh diimbas oleh majikan ketika graduan hadir untuk temuduga.
Sementara itu, pada itu Majlis Konvokesyen MSU ke-28 yang bermula hari ini, meraikan seramai 4,144 graduan daripada 124 program pengajian menerusi lapan sidang yang akan berlangsung sehingga Rabu ini.