Isnin, 13 September 2021 | 6:39pm
Pembelajaran bersemuka di dalam kelas lebih berkualiti. - Foto hiasan NSTP/Asrol Awang
Pembelajaran bersemuka di dalam kelas lebih berkualiti. - Foto hiasan NSTP/Asrol Awang

PdP bersemuka lebih berkualiti

KUALA LUMPUR: Keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka secara bergilir-gilir mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) langkah tepat bagi mengembalikan proses PdP yang berkualiti, selepas terkesan akibat penutupan sekolah.

Walaupun kes COVID-19 masih tinggi, pendidikan adalah keperluan amat penting khususnya untuk murid berkeperluan khas (MBK) dan pelajar kelas peperiksaan sekolah menengah yang boleh dilaksanakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Naib Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia, Mohd Ariffin Abdul Rahman, berkata PdP bersemuka secara penggiliran membolehkan penyampaian pengajaran yang lebih baik, melaksanakan penilaian prestasi murid, selain mengelakkan keciciran.

Bagi sekolah menengah, katanya, kehadiran murid kelas peperiksaan akan membantu mereka membuat persiapan menjelang peperiksaan kerana interaksi secara bersemuka dengan guru ketika PdP, menjadikan pemahaman lebih berkesan dan memberi panduan pembelajaran lebih jelas, terutama subjek dengan latihan amali.

"PdP di rumah (PdPR), guru dan pelajar berdepan cabaran lain, termasuk kekurangan bahan rujukan murid dan gangguan liputan internet. PdP bersemuka membolehkan interaksi serta perbincangan dua hala yang lebih berkesan," katanya.

Mohd Ariffin berkata, kehadiran murid ke sekolah memberi peluang mengulang kaji pelajaran bagi topik yang diajar ketika PdPR, selain membuat pecutan persediaan menghadapi peperiksaan tahun depan.

Calon peperiksaan memerlukan tunjuk ajar secara bersemuka daripada guru. - Foto hiasan NSTP/SADDAM YUSOFF
Calon peperiksaan memerlukan tunjuk ajar secara bersemuka daripada guru. - Foto hiasan NSTP/SADDAM YUSOFF

Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia, Sukiman Juki menyifatkan pembukaan semula sekolah dengan kehadiran murid secara bergilir dan berperingkat, penting untuk memastikan tahap penguasaan pelajaran murid kembali landasan tepat, terutama bagi MBK.

"Modul PdP murid MBK berbeza dengan murid biasa kerana lebih perlukan interaksi dua hala, kemahiran dan teknik tertentu yang dilakukan guru terlatih. Pada peringkat sekolah rendah, ini tempoh kritikal perkembangan pendidikan anak-anak, terutama MBK.

"Keutamaan PdP bersemuka untuk golongan ini amat bertepatan untuk memastikan mereka tidak tercicir.

"Kita juga melihat PdP bersemuka dengan agihan jumlah murid mengikut kumpulan dan diselang-selikan PdPR memberi ruang kepada murid untuk belajar lebih baik tanpa menambah beban kepada guru," katanya.

Biarpun KPM tidak mewajibkan ibu bapa menghantar murid ke sekolah kerana kebimbangan jangkitan wabak, Mohd Ariffin dan Sukiman senada dan yakin risiko penularan di sekolah dapat dielakkan dengan pematuhan SOP ketat.

Mereka berkata, tanggungjawab menjaga keselamatan murid daripada dijangkiti wabak turut melibatkan peranan ibu bapa ketika murid di luar kawasan sekolah bagi memastikan proses PdP bersemuka berjalan lancar demi masa depan pendidikan anak-anak. – BERNAMA

Berita Harian X