Selasa, 8 Jun 2021 | 10:54am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Modul menyeluruh PdPR elak murid tercicir

Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang masuk fasa ketiga ketika ini memerlukan modul yang lebih menyeluruh. Ia perlu dibangunkan oleh tenaga pakar bidang pendidikan, psikologi dan teknologi maklumat berdasarkan maklum balas pelaksanaannya sebelum ini.

Selain itu ia perlu juga mengambil kira pandangan mereka yang terbabit bermula dengan murid, guru dan ibu bapa. Kesemua maklum balas ini perlu dijadikan asas pembangunan modul PdPR supaya ia menjadi lebih fokus dan sampai kepada kepada kelompok yang disasarkan sama ada murid sekolah rendah, menengah atau pelajar pusat pengajian tinggi.

Pembinaan modul PdPR ini perlu dibuat bagi memastikan ia relevan dengan perkembangan teknologi digital semasa supaya kualiti pembelajaran walaupun dibuat di rumah dapat ditambah baik.

Ia juga seharusnya menggunakan pendekatan secara didik hibur (fun learning) bagi memastikan murid menguasai kemahiran asas 3M (membaca, menulis dan mengira).

Misalnya, modul PdPR murid pra sekolah harus mengambil kira pembangunan dan pembinaan murid dari pelbagai aspek merangkumi rohani, fizikal, intelektual, emosi dan sosial supaya matlamat membentuk perkembangan murid itu tercapai.

Justeru itu, manual dan modul di pelbagai peringkat pendidikan perlu sentiasa disemak dan dinilai keberkesanannya. Ia penting bagi memastikan sistem pendidikan negara ini lebih maju dan bersifat futuristik, dan bukan hanya terhad ketika tempoh pandemik COVID-19 sahaja.

Ketika ini pengajaran di peringkat sekolah rendah dan menengah sudah ada manual yang disediakan. Ia berkonsepkan pembelajaran maya yang berasaskan elektronik (e-learning), kelas digital dan pembelajaran jarak jauh (remote learning).

Penghargaan wajar diberikan kepada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang membangunkan Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) sebagai pelantar pendidikan bagi membantu guru dan murid dalam proses pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).

Malah, KPM turut bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia memperkenalkan slot program TV Pendidikan melalui saluran DidikTV selain beberapa lagi yang seumpamanya di RTM dan stesen televisyen berbayar sebagai tambahan kepada siaran EduwebTV yang dilaksanakan secara penstriman sesawang (web streaming).

Di peringkat pengajian tinggi pula, modul pembelajaran secara terbuka dan jarak jauh sudah dilaksanakan sebagai alternatif kepada kuliah secara fizikal antara pensyarah dan pelajar.

Kesemua ini tentu saja berdasarkan kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025), yang menjelaskan setiap murid di negara ini berhak untuk mendapatkan peluang mengikuti proses pendidikan meskipun mereka tidak dapat hadir ke sekolah.

Berdasarkan manual PdPR versi pertama yang dilancarkan KPM pada 2 Oktober 2020, ia boleh dijalankan secara dalam talian, luar talian dan pembelajaran secara off-site.

Malah manual PdPR itu turut ditambah baik pada Februari lalu dengan memastikan PdP berlaku secara optimum termasuklah tiada keciciran murid dalam pelajaran, asas pembelajaran dipenuhi dan kesejahteraan sosio ekonomi murid diutamakan.

Namun, satu hal yang perlu dipastikan proses penambahbaikan pelaksanaan PdPR haruslah dilaksanakan secara lebih menyeluruh bagi memastikan kualiti pendidikan negara mencapai tahap yang lebih baik.

Selain itu, masalah akses capaian internet khususnya di kawasan luar bandar dan bantuan alat peranti kepada pelajar dari kalangan keluarga B40 harus menjadi keutamaan kerajaan dalam memastikan proses PdPR dapat dilaksanakan dengan sebaiknya. Insentif khas untuk warga guru dalam memanfaatkan pengajaran secara digital dengan tambahan pemberian data internet, penambahbaikan sistem jalur lebar dan kos pembelian alat bantu mengajar secara digital perlu juga diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak kerajaan.

Menurut Khazanah Research Institute dalam laporan kajiannya bertajuk 'COVID-19 and Unequal Learning' mendapati, tinjauan oleh KPM ke atas 900,000 orang pelajar, 37 peratus daripada mereka tidak memiliki alat peranti yang sesuai.

Sementara hanya enam hingga sembilan peratus daripada mereka memiliki komputer peribadi atau tablet.

Merujuk kepada pembentangan Belanjawan 2021, kerajaan sudah menyediakan peruntukan sebanyak RM 50.4 bilion atau 15.6 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan kepada sektor pendidikan.

Jumlah ini menjadikan pendidikan sebagai sektor kedua tertinggi menerima peruntukan selepas bidang kesihatan. Peruntukan ini meliputi Rancangan Makanan Tambahan untuk murid daripada golongan B40, pembangunan infrastruktur institusi pendidikan dan hubungan antara syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan melalui projek rintis pemberian komputer riba kepada pelajar.

Sewajarnya peruntukan tambahan yang lebih besar untuk projek bantuan komputer riba kepada pelajar dan penambahbaikan akses capaian internet di kawasan luar bandar menjadi keutamaan kerajaan dalam Belanjawan 2022 yang akan datang.

Proses pelaksanaan PdPR memerlukan sokongan semua pihak.

Bermula dengan pembangunan dasar yang menyeluruh di peringkat KPM dan seterusnya pelaksanaan strategik di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah, sementara guru, ibu bapa dan komuniti sebagai tunjang pelaksanaan PdPR harus berganding bahu bagi memastikan proses PdP dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

Penulis adalah Pensyarah, Fakulti Sains Kesihatan Universiti Teknologi MARA, Kampus Puncak Alam

Berita Harian X