Khamis, 4 Jun 2020 | 11:27am
Dr Mohd Radzi (tengah) memberi penerangan berkenaan pembelian makanan pelajar mengikut garis panduan ketika lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan Engku Husain, Kajang. - Foto BERNAMA
Dr Mohd Radzi (tengah) memberi penerangan berkenaan pembelian makanan pelajar mengikut garis panduan ketika lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan Engku Husain, Kajang. - Foto BERNAMA

Penjarakan sosial di bilik guru

KUALA LUMPUR: Garis panduan baharu di sekolah juga membabitkan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi oleh guru untuk mengelakkan penularan sebarang penyakit berjangkit.

Menteri Kanan (Pendidikan), Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata antara SOP berkenaan ialah penjarakan sosial di bilik guru bagi mengelakkan kesesakan dalam ruangan yang kecil.

Sebahagian guru akan ditempatkan di pusat sumber atau perpustakaan, bilik komputer, makmal bahasa dan makmal sains atau bengkel.

Mengenai tarikh pembukaan semula sekolah, beliau berkata, Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara masih meneliti data berkaitan dan membuat keputusan.

"Notis pembukaan sekolah akan dimaklumkan dua minggu lebih awal dan hanya membabitkan pelajar sekolah menengah tingkatan lima dan enam saja. Sekarang belum ada tarikh pembukaan sekolah," katanya.

Dr Mohd Radzi memberi penerangan kedudukan tempat tidur pelajar di asrama mengikut garis panduan pengurusan sekolah pasca Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan Engku Husain, Kajang. - Foto BERNAMA
Dr Mohd Radzi memberi penerangan kedudukan tempat tidur pelajar di asrama mengikut garis panduan pengurusan sekolah pasca Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan Engku Husain, Kajang. - Foto BERNAMA

Garis panduan itu juga menetapkan beberapa peraturan baru kepada pelajar bermula sebaik mereka melangkah masuk ke sekolah, ketika pembelajaran, waktu rehat serta berada di asrama.

Mohd Radzi berkata, SOP yang diperkenalkan juga menetapkan peraturan yang perlu dilaksana pihak sekolah seperti penjarakan sosial di dalam kelas, kawasan sekolah, bilik guru, kantin dan asrama pelajar.

Sebaik pelajar melangkah masuk ke pagar sekolah, suhu mereka akan diperiksa terlebih dulu dan jika ada simptom, akan dimaklum kepada guru.

Beliau berkata, di dalam kelas, kedudukan di antara murid dijarakkan satu meter bagi memastikan penjarakan sosial selain bilangan mereka dihadkan mengikut kesesuaian dan keluasan kelas.

"Di makmal sekolah akan ditandakan jarak bagi memastikan adanya penjarakan sosial. Ini bagi memastikan pembelajaran dapat dilaksana dengan baik dan selamat," katanya dalam laporan khas disiarkan BERNAMA TV, hari ini.

Beliau berkata, waktu rehat pelajar juga akan dilaksana secara fleksible bagi mengurangkan risiko kesesakan murid di kantin.

"Semua pelajar perlu membeli makanan berbungkus. Ada beberapa pilihan makanan untuk pelajar dan pelajar perlu beratur mengikut garis panduan ditetapkan dengan jarak satu meter ketika membeli makanan.

"Mereka mengambil makanan dengan kuih dan air terus bergerak balik ke kelas. Pelajar akan makan di dalam kelas kemudian mereka perlu bersihkannya," katanya.

Bagi memastikan tidak berlaku kesesakan dalam kawasan sekolah, laluan akan ditandakan anak panah dan pelajar perlu mengikut arah berkenaan sepanjang berada di sekolah.

"Pelajar akan bergerak mengikut arah anak panah yang ditetapkan dan ia dilaksnaa di semua sekolah. Cara terbaik ialah memastikan semua jalan sehala. Bagi laluan agak besar, kita boleh buat laluan dua hala tetapi dengan penjarakan dan anak panah yang jelas," katanya.

Bagi garis panduan di asrama pula, beliau berkata, kedudukan katil pelajar akan dijarakkan satu meter dan bagi katil dua tingkat, hanya bahagian bawah digunakan.

"Dewan makan di asrama juga sudah ada ditandakan nama pelajar dan ini boleh dilaksana di sekolah yang tidak ramai murid.

"Setiap sekolah juga mesti ada bilik isolasi bagi tujuan merawat pelajar yang menghadapi kes kecemasan berkaitan kesihatan," katanya.

Berita Harian X