Selasa, 14 Januari 2020 | 3:31pm
Prof Dr Mohd Shahir Shamsir Omar dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTHM yang baharu.
Prof Dr Mohd Shahir Shamsir Omar dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTHM yang baharu.

Prof Dr Mohd Shahir Shamsir dilantik TNC baharu UTHM

BATU PAHAT: Prof Dr Mohd Shahir Shamsir Omar dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang baharu, berkuat kuasa esok.

Pelantikan Mohd Shahir Shamsir, 47, adalah bagi mengisi jawatan yang dikosongkan Prof Dr Ruzairi Abdul Rahim selepas tempoh pelantikannya tamat.

Dalam kenyataan UTHM kepada BH, pelantikan Mohd Shahir Shamsir dilakukan oleh bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan akan berkhidmat sebagai Timbalan Naib Canselor UTHM bagi tempoh tiga tahun iaitu sehingga 15 Januari 2023.

Mohd Shahir Shamsir sebelum ini adalah Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersilan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Beliau juga pernah menggalas beberapa tugas, antaranya sebagai Pengurus Teknologi Maklumat, Koordinator, Penasihat Akademik dan Fasilitator Program Fakulti di UTM.

Selain itu, beliau banyak menyumbang dalam aktiviti menyunting dan menerbitkan jurnal berindeks scopus dan prosiding serta turut aktif dalam menguruskan geran penyelidikan, khidmat perundingan dan penyelidikan kontrak.

Beliau pernah memenangi beberapa anugerah dan pingat dalam penyelidikan dan inovasi termasuk tiga kali menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang atas sumbangan dan komitmen sepanjang perkhidmatannya.

Sementara itu, Naib Canselor UTHM, Prof Datuk Dr Wahid Razzaly mewakili warga UTHM mengucapkan tahniah atas pelantikan itu dan berharap Mohd Shahir dapat memberi perkhidmatan terbaik demi kecemerlangan universiti berkenaan.

Berita Harian X