Khamis, 2 Januari 2020 | 10:19am
Gelagat murid Tahun Satu pada hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan Green Road, Kuching. - Ihsan SKGR
Gelagat murid Tahun Satu pada hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan Green Road, Kuching. - Ihsan SKGR

423,962 murid sekolah di Sarawak

KUCHING: Seramai 36,341 murid Tahun Satu memulakan sesi persekolahan di Sarawak, hari ini.

Pengarah Pendidikan negeri, Dr Azhar Ahmad, berkata mereka adalah antara 238,183 orang murid yang belajar di 1,265 sekolah rendah di negeri berkenaan.

Beliau berkata, secara keseluruhannya sebanyak 1,458 sekolah beroperasi di Sarawak dengan 193 adalah sekolah menengah.

“Seramai 185,779 murid pula meneruskan persekolahan peringkat menengah dari peringkat kelas Peralihan hingga Tingkatan Lima.

“Jumlah itu termasuk 39,993 pelajar yang baru memasuki Tingkatan Satu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai pendidikan pra-sekolah pula, Azhar berkata seramai 22,959 kanak-kanak mendaftar di 1,521 kelas di seluruh negeri.

“Kelas prasekolah itu merangkumi 1,308 kelas di Sekolah Kebangsaan termasuk empat di rumah panjang dan 183 kelas di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).

“Dua kelas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), empat kelas di Institusi Pendidikan Guru (IPG), tujuh kelas di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan empat kelas di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK),” katanya.

Berita Harian X