Khamis, 2 Mei 2019 | 7:39pm
Maszlee (tiga dari kiri) beramah mesra bersama penerima Watikah Pelantikan Panel Pakar Majlis Penarafan Standard dan Kualiti Bahasa Inggeris Sesi 2018-2020 di Kementerian Pendidikan hari ini. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Maszlee (tiga dari kiri) beramah mesra bersama penerima Watikah Pelantikan Panel Pakar Majlis Penarafan Standard dan Kualiti Bahasa Inggeris Sesi 2018-2020 di Kementerian Pendidikan hari ini. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Kertas Bahasa Inggeris PT3 dijajarkan dengan CEFR

PUTRAJAYA: Kertas Bahasa Inggeris Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang dijajarkan dengan Common European Framework of Reference For Language (CEFR) akan diperkenal tahun ini.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata kementerian sedang membangunkan kapasiti kepakaran bagi menjana pengetahuan dan kemahiran supaya dapat menghasilkan bahan pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti, yang dijajarkan menerusi CEFR.

Katanya, kertas peperiksaan Bahasa Inggeris dijajarkan CEFR itu akan diikuti peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2021, dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2022.

“CEFR yang dimulakan secara berperingkat melalui kurikulum, pengajaran dan pembelajaran serta pentaksiran itu bermula pada 2016 dan ia usaha transformasi untuk menaik taraf sistem pendidikan Bahasa Inggeris dalam melahirkan pelajar dan guru yang lebih baik di masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan watikah pelantikan Panel Pakar Majlis Penarafan Standard dan Kualiti Bahasa Inggeris (MPSKBI) sesi 2018-2020 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Panel Pakar Majlis Penarafan Standard dan Kualiti Bahasa Inggeris (MPSKBI), Kementerian Pendidikan, Zuraidah Mohd Don.

Enam panel pakar MPSKBI lain terdiri daripada Prof Dr Anna Christina Abdullah (Open University, Pulau Pinang); Prof Dr Hazita Azman (Fakulti Sains Sosial Dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia); Dr Mardziah Hayati Abdullah (Universiti Putra Malaysia); Prof Madya Dr Ramesh Nair (Universiti Teknologi MARA) dan Jaya Pushani Ponnudurai (Mantan Ketua Jabatan, Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris).

Dr Maszlee berkata, selaras Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, penubuhan MPSKBI juga turut dipertanggungjawabkan dalam penghasilan Hala Tuju Bahasa Inggeris 2015-2025 bagi menentukan hala tuju sistem pendidikan Bahasa Inggeris dari peringkat prasekolah sehingga universiti, termasuk pendidikan guru.

Katanya, ketika ini, murid prasekolah dan Tahun Satu hingga Tiga sedang mengikuti kurikulum dijajarkan CEFR dan akan diikuti dengan peringkat pendidikan lain yang dibekalkan dengan buku teks dan bahan digital.

“Hari ini, kita berjaya membina keupayaan pendidikan guru mengenai CEFR dan pada masa sama, kita masih dalam proses mempelajari, memahami dan mengaplikasikan sedikit demi sedikit.

“Semua pihak perlu berganding bahu dan bekerjasama memenuhi aspirasi ini dalam membantu kementerian mencapai matlamat transformasi pendidikan Bahasa Inggeris,” katanya.

Berita Harian X