Selasa, 23 April 2019 | 7:06pm
Hassan (kanan) menyerahkan replika cek kepada A Rahman (dua dari kiri) sambil disaksikan Ahmad Samsuri (tengah) pada Majlis Penyerahan Premium Tanah Kampus Gong Badak di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu. - NSTP/Rozainah Zakaria
Hassan (kanan) menyerahkan replika cek kepada A Rahman (dua dari kiri) sambil disaksikan Ahmad Samsuri (tengah) pada Majlis Penyerahan Premium Tanah Kampus Gong Badak di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu. - NSTP/Rozainah Zakaria

UniSZA selesai bayar pampasan kepada kerajaan Terengganu

KUALA TERENGGANU: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) selesai menjelaskan bayaran premium tanah Kampus Gong Badak di Kuala Nerus kepada kerajaan negeri dengan nilai keseluruhan RM183.1 juta.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata bayaran itu adalah tuntutan pampasan oleh kerajaan negeri kepada Kerajaan Persekutuan susulan penyerahan Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) menjadi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Beliau berkata, hari ini kerajaan negeri menerima pembayaran terakhir berjumlah RM55 juta dari UniSZA.

“Bayaran ini adalah tuntutan pampasan oleh kerajaan negeri kepada Kerajaan Persekutuan susulan penyerahan KUSZA kepada Kementerian Pendidikan (sebelum ini Kementerian Pengajian Tinggi) untuk menubuhkan UniSZA,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis penyerahan replika cek bayaran pampasan berkenaan yang disampaikan Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A Rahman Yahya.

Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri tahun lalu sudah menerima pembayaran secara berperingkat sebanyak tiga kali iaitu RM71 juta, RM2 juta dan RM55 juta.

“Wang ini akan dimasukkan ke dalam Akaun Yang Disatukan dan akan digunakan untuk kegunaan negeri dan rakyat,” katanya.

KUSZA ditubuhkan pada 1980, sebelum Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk menjadikannya berstatus universiti pada 2005 dengan nama Universiti Darul Iman (UDI), sebelum ditukarkan kepada UniSZA pada 2010.

Keputusan kerajaan menukarkan KUSZA kepada UniSZA menjadi satu sejarah dalam perkembangan institusi pengajian tinggi awam negara dan menjadi kebanggaan rakyat Terengganu.

Berita Harian X