Sabtu, 8 Disember 2018 | 1:48pm
NAIB Canselor Universiti Automotif DRB-HICOM, Prof Datuk Dr Omar Osman (kiri) melihat replika kereta yang dipamerkan pada pertandingan PD3C, di Universiti Automotif DRB-HICOM, Pekan, hari ini. - Foto Muhd Asyraf Sawal
NAIB Canselor Universiti Automotif DRB-HICOM, Prof Datuk Dr Omar Osman (kiri) melihat replika kereta yang dipamerkan pada pertandingan PD3C, di Universiti Automotif DRB-HICOM, Pekan, hari ini. - Foto Muhd Asyraf Sawal

PD3C cungkil bakat industri automotif negara

PEKAN: Pertandingan cabaran kereta kreatif PROTON-Universiti Automotif DRB-HICOM (PD3C) menjadi medan terbaik buat pelajar universiti di negara ini mencungkil bakat dalam bidang reka cipta dan teknikal automotif.

Naib Canselor Universiti Automotif DRB-HICOM, Prof Datuk Dr Omar Osman, berkata, penyertaan bakat baharu dalam bidang automotif amat memberangsangkan terutama dalam memperkasakan industri automotif negara.

Katanya, idea kreatif dan segar amat ditagih dalam industri itu dan penganjuran PD3C memang tepat kerana berjaya mencungkil bakat dalam kalangan pelajar universiti untuk mencipta reka bentuk kereta yang unik serta mahir dalam aspek teknikal.

“Saya lihat ia perkembangan positif terutama dalam industri automotif negara, mereka sungguh berbakat. Jadi sebagai pemain industri kita perlu bantu bakat muda ini supaya mereka mampu pergi jauh.

“Mungkin ada yang mahir dalam aspek reka bentuk kereta dan ada juga yang mahir aspek kemahiran teknikal...bakat ini perlu kita bantu. Saya yakin DRB-HICOM dan PROTON akan main peranan,” katanya dalam sidang media selepas hadir menyampaikan hadiah pertandingan PD3C, di Universiti Automotif DRB-HICOM, di sini, hari ini.

Pertandingan PD3C adalah penganjuran kali pertama yang menghimpunkan pelajar universiti dari seluruh negara bertanding mempamerkan bakat mereka cipta bentuk kenderaan berasaskan teknologi terkini kenderaan PROTON.

PD3C berjaya menarik kira-kira 20 penyertaan institusi pengajian tinggi negara dengan hampir 200 penyertaan pelajar.

Sementara itu, Omar berkata pihaknya bercadang untuk bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk memperluaskan penganjuran pertandingan seumpama itu di peringkat sekolah.

Beliau berkata, perkembangan kreativiti harus dicungkil di peringkat sekolah supaya mereka yang berbakat dan mempunyai idea unik diketengahkan.

“Industri automotif tempatan mampu berkembang ke tahap yang tinggi berdasarkan bakat muda yang ada pada hari ini selain perkembangan sains dan teknologi,” katanya.

PD3C mempertandingkan enam kategori yang mana hadiah utama berjumlah RM7,000 dianugerahkan kepada johan penyertaan.

Berita Harian X