Selasa, 13 November 2018 | 1:43pm
CALON menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Lela Segara, hari ini. - Foto Ghazali Kori
CALON menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Lela Segara, hari ini. - Foto Ghazali Kori

19,624 calon ambil SPM di Terengganu

MARANG: Seramai 19,624 calon menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di 168 pusat peperiksaan di seluruh negeri yang bermula pagi ini.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, daripada jumlah itu, seramai 17,808 calon adalah pelajar dari sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan.

Katanya, seramai 740 calon terdiri dari calon Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), calon sekolah menengah agama negeri (58 orang), calon swasta (126) dan 892 adalah calon persendirian.

“Seramai 1,303 petugas dari Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dilantik bagi membantu mengendalikan calon SPM,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan dan menyampaikan ucapan semangat kepada calon peperiksaan SPM dan calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Lela Segara, di sini, hari ini.

Dr Ahmad Samsuri meminta semua calon agar merujuk jadual waktu peperiksaan untuk mengetahui maklumat mengenai masa peperiksaan, arahan dan amaran sepanjang tempoh peperiksaan.

Ketika mengulas jumlah calon peperiksaan STPM, Dr Ahmad Samsuri berkata, seramai 2,367 calon mula menduduki peperiksaan di 44 pusat peperiksaan yang membabitkan 393 petugas peperiksaan mulai hari ini.

Katanya, calon diingatkan supaya sentiasa mengambil perhatian tentang keadaan cuaca dan keselamatan berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Jika berlaku kecemasan, termasuk berhadapan kesukaran untuk ke pusat peperiksaan, calon diminta berhubung dengan pihak sekolah seberapa segera untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Berita Harian X