Sabtu, 10 November 2018 | 5:26pm
YANG Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menyampaikan Ijazah Sarjana Muda kepada penerima pada majlis Konvokesyen UKM Ke-46 yang berlangsung selama empat hari, bermula hari ini. - Foto Eizairi Shamsudin
YANG Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menyampaikan Ijazah Sarjana Muda kepada penerima pada majlis Konvokesyen UKM Ke-46 yang berlangsung selama empat hari, bermula hari ini. - Foto Eizairi Shamsudin

UKM hasilkan 7,021 graduan pada konvokesyen ke-46

BANGI: Seramai 7, 021 graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan bergraduasi pada majlis Konvokesyen UKM Ke-46 yang berlangsung selama empat hari, bermula hari ini.

Daripada jumlah itu, 571 adalah graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD), 2, 070 graduan Ijazah Sarjana, 223 Ijazah Sarjana Kepakaran Perubatan, empat graduan Ijazah Sarjana Kepakaran Pergigian, satu Ijazah Sarjana Kepakaran Perubatan Lanjutan Dematologi, 4,069 Ijazah Sarjana Muda, 75 graduan Diploma Pascasiswazah dan lapan graduan Diploma Lanjutan.

Pada konvokesyen itu, ia turut menyaksikan Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan yang juga Pro-Canselor UKM, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kepimpinan Awam dan Pentadbiran Awam) atas sumbangannya kepada universiti dan negara.

Konvokesyen kali ini dirasmikan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir selaku Canselor UKM.

Tuanku Muhriz dalam titahnya berkata, UKM mencatat kejayaan berada di kalangan 200 universiti terbaik di dunia di tangga 184 dalam QS World University Rankings dan tangga keempat untuk penarafan universiti terbaik di Asia Tenggara.

Baginda berkata, kejayaan ini akan terus menjadi faktor mendorong kecemerlangan universiti secara konsisten dalam menentukan hala tuju perjalanan akademik pelajar.

“Beta juga ingin mengingatkan kepada cendikiawan untuk sentiasa bermuhasabah dan menyedari tujuan sebenar penerokaan ilmu ini dilakukan.

“Beta harap setiap warga universiti secara sedar mendukung perjuangan asal penubuhan universiti iaitu memperjuangkan aspirasi kebangsaan dan memupuk semangat kenegaraan kental dalam jiwa rakyat.

“Justeru integriti dan kejujuran akademik perlu diperteguhkan kerana rakyat meletakkan harapan tinggi kepada ilmuan,” katanya ketika bertitah pada majlis konvokesyen itu.

Turut mencemar duli Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tunku Besar Mahmud.

Baginda berkata, UKM sentiasa menawarkan nilai pada tahap tinggi yang berteraskan penyelidikan untuk pembangunan di negara ini.

“Nilai yang berfokus kepada cabaran dan isu semasa bersifat lokal dan global itu mampu memberi impak membina dalam proses pembangunan tanah air,” katanya.

Sementara itu, pensyarah orang kurang upaya (OKU) penglihatan, Dr Al-Amril Othman, 49, bersyukur akhirnya dapat menamatkan pengajiannya dan dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah (Sejarah) biarpun mengambil masa selama 12 tahun.

Katanya, pelbagai cabaran terpaksa ditempuh hingga ada ketikanya hampir putus asa, namun sokongan keluarga dan kerjasama UKM dalam memberikannya masa menjadikan beliau tekad menghabiskan pengajiannya itu.

“Dalam keadaan begini saya memerlukan pembantu sepanjang masa untuk mentranskrip semula bahan penyelidikan dalam bentuk rakaman atau salinan semula secara bertaip.

“Saya juga perlu membahagikan masa antara kerjaya sebagai pensyarah di UKM dan juga keluarga. Ada ketikanya saya terpaksa korbankan masa dengan keluarga.

“Inilah yang saya perlu lakukan dalam memastikan kerjaya saya sebagai pensyarah di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM ini terjamin,” katanya.

Katanya, lambat atau cepat seseorang itu mencapai kejayaan, jika sentiasa konsisten, pasti dapat menyelesaikan pengajiannya.

“Kisah arnab dan kura-kura menjadi antara situasi yang sering saya ingatkan. Biar lambat asalkan sampai ke penghujungnya dan jangan terlalu cepat berpuas hati dengan kejayaan yang dipegang,” katanya.

Bagi Ketua Penolong Pengarah, Pusat Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi, Institut Pendidikan Guru Malaysia, Dr Rusminah Musliman, 48, berkata saat disahkan menghidap barah tiroid awal tahun lalu, beliau hampir berputus asa disebabkan oleh keadaan fizikal, mental dan emosinya yang tidak stabil.

Katanya, beliau sering menjadi pelupa hingga memberinya tekanan bagaimana untuk menamatkan pengajiannya dalam bidang pendidikan.

“Bayangkan dalam tempoh sebulan selepas disahkan menghidap barah tiroid peringkat awal, ia terus berada pada tahap dua. Suami menasihati sama ada ingin hidup atau mahukan PhD.

"Jadi saya ambil keputusan cuti sakit selama tujuh bulan dimanfaatkan dengan melakukan rawatan dan sebagainya.

"Selepas kesihatan beransur pulih, saya baru bersemangat ingin menghabiskan pengajian saya biarpun mengambil masa selama tujuh tahun untuk menggenggam PhD dalam bidang Pendidikan (Pengukuran dan Penilaian)," katanya.

Berita Harian X