Ahad, 19 Ogos 2018 | 9:32am
JOHAN Pertandingan Inovasi 'Falling Walls Lab', Dr Guruswamy Prabhakaran (empat dari kiri) bersama pemenang tempat kedua, Lavannia Kasinathan, 24, (lima dari kiri) dan pemenang tempat ketiga, Nur Hasanah Mohd Hassan, 23 (tiga dari kiri) bersama barisan juri. - Foto Nur Syazwana Mansor
JOHAN Pertandingan Inovasi 'Falling Walls Lab', Dr Guruswamy Prabhakaran (empat dari kiri) bersama pemenang tempat kedua, Lavannia Kasinathan, 24, (lima dari kiri) dan pemenang tempat ketiga, Nur Hasanah Mohd Hassan, 23 (tiga dari kiri) bersama barisan juri. - Foto Nur Syazwana Mansor

Pensyarah wakili negara ke pertandingan antarabangsa

SUNGAI PETANI: Pensyarah Jabatan Bioteknologi, Falkulti Sains Gunaan, Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST), Dr Guruswamy Prabhakaran dinobatkan johan pertandingan Inovasi ‘Falling Walls Lab’.

Beliau berjaya menewaskan 45 peserta lain dari pelbagai universiti awam dan swasta pada pertandingan yang diadakan di Universiti Aimst, Semeling, dekat sini, semalam.

Hasil kajian beliau yang bertajuk ‘Breaking The Wall of Cholera for Bottom Billion’ itu berjaya memenangi hati juri sekali gus melayakkannya mewakili negara ke peringkat antarabangsa di Berlin, Jerman pada 8 November ini.

Guruswamy berkata, kemenangan terbabit memberi peluang bagi mengetengahkan hasil kajiannya itu ke peringkat antarabangsa dan berharap dapat mencuri hati juri di sana sekali gus mengharumkan nama negara serta institusi yang diwakilinya.

“Kini saya perlu membuat persiapan lebih mantap dan memperkemaskan kajian saya untuk pertandingan peringkat antarabangsa pada November ini.

“Saya bakal berhadapan dengan ramai peserta hebat dari serata dunia dalam pertandingan terbabit dan sudah pastinya ia akan memberi cabaran yang besar untuk memenanginya, namun saya juga yakin dengan kemampuan diri sendiri,” katanya.

Tempat kedua dimenangi penuntut Aimst, Lavannia Kasinathan, 24, dengan pembentangan bertajuk, ‘Breaking the Wall of Diabetes Mellitus’, manakala tempat ketiga milik penuntut Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, Nur Hasanah Mohd Hassan, 23.

Peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan dengan 37 peserta dari Malaysia, empat dari India, seorang wakil masing-masing dari Nigeria, Sudan dan Pakistan dengan masing-masing membentangkan idea serta inovasi baharu dalam pelbagai bidang sains.

Berita Harian X