Selasa, 17 Julai 2018 | 5:43pm
UNIVERSITI yang mempunyai ranking yang baik dipercayai menjadi pilihan kepada pelajar tempatan dan antarabangsa untuk menyambung pengajian. - Foto hiasan
UNIVERSITI yang mempunyai ranking yang baik dipercayai menjadi pilihan kepada pelajar tempatan dan antarabangsa untuk menyambung pengajian. - Foto hiasan

Keseimbangan ranking universiti, etika akademik

SEJARAH penubuhan universiti awam di negara ini banyak berkaitan dengan agenda mengisi kemerdekaan dan pembangunan negara bangsa.

Matlamat penubuhan universiti ketika itu lebih menjurus kepada penjanaan modal insan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja. Justeru, kebolehpasaran graduan sentiasa dirujuk bagi menggambarkan kualiti dan kecemerlangan sesebuah universiti.

Penyertaan dalam sistem ranking memberi fokus baharu kepada universiti. Tidak dinafikan, sistem ranking telah dijadikan strategi pengantarabangsaan untuk menyerlahkan lagi keterlihatan universiti di peringkat global.

Universiti yang mempunyai ranking yang baik dipercayai menjadi pilihan kepada pelajar tempatan dan antarabangsa untuk menyambung pengajian dan mempengaruhi industri atau majikan memilih graduan yang dihasilkannya.

Agenda ranking universiti bukanlah perkara baharu. Sejak Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) dilancarkan pada 2007 lagi, tiga Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) disasar mendapat pengiktirafan antara 100 terbaik dan satu antara 50 universiti terkemuka di dunia.

Kini, sasaran mendapatkan kedudukan ranking terbaik menjadi prioriti institusi sepertimana yang terkandung dalam pelan strategik dan transformasi universiti masing-masing.

Etika dan budaya

Kita percaya bahawa universiti penyelidikan seharusnya boleh menjadi pemain global dan kecemerlangannya boleh ditentukan oleh ranking.

Dalam ranking QS Dunia 2018/2019 yang dikeluarkan bulan lalu, Universiti Malaya (UM) melonjak pada kedudukan 87, manakala Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di kedudukan 184 dan Universiti Putra Malaysia (UPM) mengekori rapat di kedudukan 202.

Banyak pihak mengaitkan pencapaian ranking dengan kualiti dan kecemerlangan universiti. Namun, kriteria ranking yang banyak memberi tumpuan kepada aspek kuantiti sedikit sebanyak membawa kepada isu etika dan budaya kecemerlangan akademik yang sebenar.

Perkara ini sangat membimbangkan dan menjadi salah satu tuntutan dalam memorandum Cadangan Penambahbaikan dan Reformasi Berkaitan Pendidikan Tinggi Malaysia oleh Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Malaysia (PenDaPaT) kepada Menteri Pendidikan Malaysia, YB Dr Maszlee Malik baru-baru ini.

Kejar ranking

Tidak dinafikan, proses mengejar ranking telah mewujudkan amalan yang tidak menepati etika akademik sebenar khususnya dalam aspek penerbitan tidak berkualiti dan pembayaran kepada jurnal pemangsa.

Selain itu, kriteria penilaian penyelidikan oleh pihak MyRA dan IPT yang masih tertumpu kepada aspek kuantiti dan kumulatif penyelidikan, menyebabkan ramai ahli akademik (dengan sokongan institusi) telah menerbit dalam jurnal pemangsa atau penerbit yang diragui kewibawaannya. Malah mereka menggunakan dana penyelidikan dan universiti untuk menampung pembayaran tinggi yang dikenakan oleh jurnal berkenaan.

Tulisan oleh Norzaini Azman dan Faridah Mydin Kutty bertajuk 'Imposing Global Universiti Ranking on Local Academics Culture: Insights from the National University of Malaysia' mengakui proses mengejar ranking yang hanya memberi tumpuan kepada penerbitan jurnal berimpak tinggi turut mengabaikan aktiviti akademik lain khususnya dalam konteks sains sosial seperti penulisan buku teks dan bab dalam buku, pembangunan kursus dan kurikulum, pengeditan dokumentari serta penghasilan projek filem.

Fokus kepada jurnal berimpak tinggi juga telah meminggirkan jurnal akademik tempatan dalam Bahasa Melayu yang tidak disenaraikan dalam indeks ISI.

Seorang ahli akademik yang ditemubual dalam kajian itu mempertikai bagaimana beberapa jurnal akademik tempatan dikesampingkan sedangkan jurnal seumpama ini menjadi rujukan dan dipandang tinggi dalam khalayak di Malaysia.

Seperti diketahui umum bahawa proses mengejar ranking telah menjadikan Petunjuk Prestasi Utama atau KPI sebagai satu-satunya perkara yang perlu dicapai.

Hal ini mendorong ahli akademik hanya untuk memberi fokus kepada mencapai sasaran KPI sehingga tuntutan dan tanggungjawab bersifat intangible atau kualiti yang tidak boleh diukur terabai.

Menilai prestasi

Mutakhir ini, beberapa universiti mula memberi fokus kepada Key Intangible Performance atau Petunjuk Amal Utama dalam menilai prestasi tahunan ahli akademik.

Kualiti seperti integriti, keserakanan, ketekunan dan komitmen terhadap institusi perlu diambil kira dalam mengukur kecemerlangan dan prestasi. Ini akan memberikan keseimbangan kepada KPI.

Meskipun sistem ranking akan kekal, proses mengejar ranking tidak dibenar mengganggu-gugat etika akademik. Universiti tidak sewajarnya menjadi taksub kepada ukuran pencapaian dan pengiktirafan yang muluk semata-mata, jauh sekali menilai kecemerlangan dalam konteks yang sempit.

Sebagai institusi keilmuan dan penyuluh kebenaran, universiti adalah benteng terakhir etika dan integriti dalam masyarakat. Justeru, keseimbangan antara proses mengejar ranking dan etika akademik perlu diperkukuhkan. Matlamat sama sekali tidak menghalalkan cara.

Penulis juga adalah Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X