Rabu, 11 Julai 2018 | 10:30am
ASSAFAL (dua dari kiri) hadir pada Majlis Penyampaian Sijil dan Pertukaran Cenderamata sempena pertandingan Tugu Budaya Etnik Sabah Kesembilan-Festival Tarian Rakyat Remaja Antarabangsa 2018 di Kota Kinabalu, malam tadi. - Foto Malai Rosmah Tuah
ASSAFAL (dua dari kiri) hadir pada Majlis Penyampaian Sijil dan Pertukaran Cenderamata sempena pertandingan Tugu Budaya Etnik Sabah Kesembilan-Festival Tarian Rakyat Remaja Antarabangsa 2018 di Kota Kinabalu, malam tadi. - Foto Malai Rosmah Tuah

29 sekolah rebut juara tarian rakyat

KOTA KINABALU: Sebanyak 29 sekolah termasuk lima dari luar negara akan berentap dalam pertandingan Tugu Budaya Etnik Sabah Kesembilan-Festival Tarian Rakyat Remaja Antarabangsa 2018 di Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang, bermula hari ini.

Pertandingan selama tiga hari itu menampilkan tarian rakyat masing-masing untuk dipersembahkan bagi merebut gelaran juara dalam festival ini.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Assafal P Alian, berkata pertandingan itu membabitkan 24 sekolah rendah dan menengah dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung serta lima lagi dari luar negara.

"Lima negara yang turut berentap ialah Russia, Sri Lanka, Uzbekistan, Filipina dan Indonesia.

"Pertandingan ini berlangsung bermula hari ini sehingga peringkat akhir pada Jumaat ini," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sijil dan Pertukaran Cenderamata sempena pertandingan itu di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datu Rosmadi Datu Sulai dan Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, William Baya.

Orang ramai yang ingin menyaksikan persembahan tarian rakyat termasuk tarian kebudayaan antarabangsa dari lima negara itu boleh berkunjung ke Pusat Kebudayaan Sabah di Penampang bermula jam 7 pagi hingga 5 petang sepanjang tiga hari ia berlangsung.

Tiket masuk untuk dewasa ialah RM10 manakala RM5 untuk kanak-kanak dan boleh didapati di Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, Pusat Kebudayaan Sabah Penampang dan Balai Seni Lukis Sabah.

Terdahulu, Assafal berkata, persembahan mini turut diadakan oleh kumpulan peserta di beberapa lokasi termasuk di pusat beli belah Centre Point, Suria Sabah dan Imago bagi mempromosikan Tugu Budaya Etnik Sabah Kesembilan-Festival Tarian Rakyat Remaja Antarabangsa 2018.

"Saya sangat gembira melihat festival ini mendapat sambutan, selain tajaan daripada pelbagai pihak termasuk Petronas dan Imago.

"Diharapkan, melalui promosi ini juga lebih ramai penonton terutama peminat seni kebudayaan hadir menyaksikan pertandingan ini," katanya.

Berita Harian X