Sabtu, 9 Disember 2017 | 5:31pm
NAIB Canselor USIM, Prof Datuk Dr Musa Ahmad bergambar bersama orang ramai ketika membuat lawatan kerja sehari ke Kampung Sungai Tangkarason di Beluran. - Foto ihsan USIM
NAIB Canselor USIM, Prof Datuk Dr Musa Ahmad bergambar bersama orang ramai ketika membuat lawatan kerja sehari ke Kampung Sungai Tangkarason di Beluran. - Foto ihsan USIM

USIM bantu penduduk kampung

BELURAN: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) akan membantu membangunkan projek telaga air untuk kegunaan penduduk Kampung Sungai Tangkarason, di sini.

Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Musa Ahmad menyatakan komitmen itu ketika lawatan kerja sehari ke kampung berkenaan, yang mengambil masa kira-kira empat jam perjalanan dari bandar Sandakan.

Musa berkata, menerusi pemerhatian awal dan perbualan dengan penduduk kampung, mereka mengakui pembangunan infrastruktur asas masih kurang dan ketinggalan.

"Penduduk kampung masih menghadapi kesukaran mendapatkan kemudahan air bersih, bekalan elektrik dan jalan yang sempurna. Atas keprihatinan ini, USIM akan berusaha mencari dana bagi membina telaga air menggunakan pam secara berpusat.

"Buat masa ini, sumber air untuk kegunaan harian hanya didapati dari tadahan hujan atau sungai berdekatan. Kita juga melihat keperluan menyediakan perahu yang bersesuian untuk kemudahan penduduk kampung dan murid ke sekolah yang menggunakan sungai sebagai laluan mereka.

"Kita akan usulkan usaha murni ini kepada rakan strategik kita dan badan korporat untuk menyumbang dana bagi merealisasikan projek ini. Pendidikan amat penting kerana melalui pendidikan ia akan mengubah kehidupan yang lebih baik," katanya di sini hari ini.

Lawatan ini turut disertai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Prof Datuk Dr Hasan Basri Awang Mat Dahan.

Kunjungan USIM ke kampung berkenaan untuk melihat lebih dekat enam siswa Gap Year USIM yang membuat program kemasyarakatan di bawah Islamic Relief Malaysia (IRM) Sabah.

Mereka berada di pedalaman Sabah itu sejak awal bulan ini dengan mengunjungi Kampung Sambah, Kampung Tangkarason, Kampung Tegupi Laut dan Kampung Sayap.

Program Gap Year satu inisiatif oleh Kementerian Pendidikan Tinggi yang memberi peluang kepada mahasiswa universiti awam ntuk menangguhkan pengajian selama setahun untuk terbabit dalam program sukarelawan.

Musa berkata, USIM turut berhasrat menjadikan Kampung Sungai Tangkarason sebagai kampung angkat universiti itu.

"Menerusi platform ini, USIM akan bekerjasama dengan IRM untuk menghantar penuntutnya ketika cuti semester ke kampung ini untuk pembangunan aspek pendidikan anak kampung.

Sementara itu, dalam majlis berasingan iaitu 'Cheer To School', Musa turut menyampaikan sumbangan beg sekolah, alat tulis dan buku kepada 125 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bawang.

Berita Harian X