Khamis, 2 November 2017 | 1:49pm

45,303 calon duduki STPM 2017

KUALA LUMPUR: Seramai 45,303 calon akan menduduki peperiksaan Penggal 3, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2017 di 683 pusat peperiksaan di seluruh negara bermula 6 November hingga 14 November ini.

Daripada jumlah itu, seramai 44,819 calon membabitkan sekolah kerajaan, calon sekolah swasta (222), calon persendirian (254) dan sekolah kerajaan negeri (lapan).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Majlis Peperiksaan Malaysia, seramai 50,011 calon pula akan menduduki peperiksaan Penggal 1, STPM 2018 pada 15 November hingga 21 November ini di 670 pusat peperiksaan.

Daripada jumlah itu, seramai 49,746 calon daripada sekolah kerajaan, sekolah swasta (168), persendirian (80) dan 17 calon sekolah kerajaan negeri.

Selain itu, peperiksaan ulangan Penggal 1 STPM 2017 juga akan diadakan pada 15 November hingga 21 November ini membabitkan 41,078 calon, manakala peperiksaan ulangan Penggal 2 STPM 2017 akan diadakan pada 22 November hingga 28 November ini (40,289 calon).

Menurut kenyataan itu lagi, ujian bertulis Malaysian University English Test (MUET) sesi November 2017 pula akan dijalankan pada 4 November ini di 483 pusat ujian membabitkan seramai 48,065 calon.

Sehubungan itu, calon dinasihati supaya sentiasa membawa kad pengenalan masing-masing ketika hadir bagi menduduki peperiksaan itu.

Bagi calon persendirian, mereka hendaklah juga membawa slip Laporan Pendaftaran Kemasukan Calon (LPKC) bagi peperiksaan STPM dan slip daftar MUET (MUET/D) bagi MUET semasa hadir menduduki peperiksaan ini.

Calon boleh mencetak LPKC dan MUET/D masing-masing melalui portal Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) http://www.mpm.edu.my.

Calon juga dinasihati agar menyemak nama pusat peperiksaan yang akan diduduki bagi mengelak daripada hadir di pusat peperiksaan yang salah.

Jika berlaku sebarang bencana alam pula, seperti banjir atau tanah runtuh, dan calon mendapati sukar untuk sampai ke pusat peperiksaan, mereka dinasihati supaya pergi ke pusat peperiksaan yang berdekatan dan melaporkan diri kepada Ketua Pengawas di pusat peperiksaan yang berkenaan bagi menduduki kertas peperiksaan pada hari berkenaan.

Bagi menghadapi sebarang kemungkinan itu semasa peperiksaan STPM dan MUET berlangsung, MPM membuka Bilik Gerakan yang boleh dihubungi melalui telefon di talian 03-61261668.

Bilik Gerakan ini beroperasi dari jam 7 pagi hingga 5 petang. Talian telefon lain yang boleh dihubungi ialah 03-61261600 (Am)/03-61261650/03-61261651/03-61261653/03-61261661/03-61261662.

Berita Harian X