Rabu, 25 Oktober 2017 | 3:56pm
PELAJAR berpeluang menjalankan eksperimen Sains. - Foto Mohd Shukor Amin
PELAJAR berpeluang menjalankan eksperimen Sains. - Foto Mohd Shukor Amin

Pelajar SMK Sungai Besar minat STEM

SABAK BERNAM: Seramai 60 pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besar menyertai Program 'Fun With STEM' di Bilik Galeri Bestari sekolah berkenaan, di sini, hari ini.

Penyelaras program, Riza Rita Mohd Shapee, berkata ia kesinambungan Program Mentor-Mentee STEM Selangor 2017, anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dengan kerjasama Universiti Selangor (UNISEL).

Katanya, SMK Sungai Besar menjadi sekolah pertama yang menjalankan program itu di negeri ini.

"Sebanyak enam buah sekolah dipilih JPNS dan UNISEL dari tiga daerah iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor.

"Objektif utama program berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) ini khususnya bagi pelajar Tingkatan 1 adalah untuk menarik minat mereka terhadap mata pelajaran STEM," katanya.

Program itu dirasmikan Pengetua SMK Sungai Besar, Saroni Tasuki dan turut membabitkan 15 pensyarah serta mahasiswa UNISEL.

PELAJAR SMK Sungai Besar ceria bergambar beramai-ramai bersama guru, pensyarah dan mahasiswa Unisel pada Program Fun With STEM di sekolah berkenaan, di sini. - Foto Mohd Shukor Amin
PELAJAR SMK Sungai Besar ceria bergambar beramai-ramai bersama guru, pensyarah dan mahasiswa Unisel pada Program Fun With STEM di sekolah berkenaan, di sini. - Foto Mohd Shukor Amin

Yang turut hadir, Pensyarah Jabatan Sains dan Bioteknologi Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat UNISEL, Profesor Madya Aziah Yusoff.

Riza Rita berkata, penganjuran program berkenaan juga selaras dengan hasrat negara yang mahukan pelajar aliran sains mencapai nisbah 60:40 pada tahun 2020.

"Jadi, program ini sangat bertepatan dengan aspirasi itu dan melalui program ini secara keseluruhannya mendapati pelajar berminat ke arah bidang STEM," katanya.

Beliau berkata, minat pelajar terhadap STEM meningkat apabila mereka terbabit secara langsung dalam melakukan beberapa eksperimen sains bersama mahasiswa UNISEL di makmal sains sekolah selepas sesi taklima.

Berita Harian X