Ahad, 17 September 2017 | 2:56pm
KETUA UMNO Bahagian Bukit Gantang merangkap Pegawai Khas Menteri Besar Perak, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal bergambar bersama orang ramai pada majlis perasmian Seminar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) BH Skor, Taiping, hari ini. - Foto L Manimaran
KETUA UMNO Bahagian Bukit Gantang merangkap Pegawai Khas Menteri Besar Perak, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal bergambar bersama orang ramai pada majlis perasmian Seminar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) BH Skor, Taiping, hari ini. - Foto L Manimaran

Komitmen ibu bapa bantu kejayaan

TAIPING: Kesungguhan ibu bapa antara faktor kecemerlangan pelajar dalam akademik dan juga sahsiah diri.

Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang merangkap Pegawai Khas Menteri Besar Perak, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, berkata ibu bapa yang ingin melihat anak mereka berjaya dalam setiap bidang perlu bersedia untuk berkorban masa dan tenaga mengikuti perkembangan anak.

"Kebanyakan pelajar yang berjaya datang daripada keluarga yang penjaganya prihatin dengan perkembangan anak-anak. Saya ingin berkongsi pengalaman seorang pekerja keselamatan yang semua lima anaknya berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading meskipun dalam serba kekurangan.

"Beliau bukan seorang yang berpelajaran tinggi, tetapi saya difahamkan setiap hari anaknya perlu berkongsi topik yang dipelajari di sekolah dan ini memastikan mereka memberi tumpuan kepada sesi pembelajaran," katanya ketika berucap merasmikan Seminar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) BH Skor, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Unit Akademik, Pejabat Pendidikan Daerah Larut Matang dan Selama, Mohd Ravi Abdullah; Pengerusi Majlis Guru Besar (MGB) Larut Matang dan Selama, Abd Aziz Ahmad serta Pengarang Pendidikan BH, Fadzlena Jafar.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan tajaan bagi 100 orang calon SPM dari 10 sekolah di Parlimen Bukit Gantang yang menyertai seminar berkenaan.

Sementara itu, Abd Aziz berkata, teknik yang disampaikan dalam seminar berkenaan mampu membantu pelajar untuk memperoleh keputusan lebih baik.

"Pada mulanya, saya hanya ingin hadir selama 10 minit untuk memantau, tetapi penceramah berjaya membuatkan saya duduk lebih lama mendengar ceramah yang bukan sahaja diadakan secara kreatif, tetapi berkesan.

"Saya berharap peserta dapat memanfaatkan apa yang dipelajari dalam program ini dan memperoleh inspirasi untuk berjaya," katanya.

INFO

Seminar SPM BH Skor

- Anjuran BH

- Diadakan dengan kerjasama MGB Larut Matang dan Selama serta PPD Larut Matang

- Membabitkan 125 peserta dari 15 sekolah di Parlimen Bukit Gantang

Berita Harian X