Isnin, 21 Ogos 2017 | 2:37pm
DATUK Seri Idris Jusoh berucap pada majlis Perasmian Konvensyen Pemimpin Mahasiswa Kebangsaan 2017 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).- Syafiq Ambak
DATUK Seri Idris Jusoh berucap pada majlis Perasmian Konvensyen Pemimpin Mahasiswa Kebangsaan 2017 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).- Syafiq Ambak

Tiga Program Gap Year mulai bulan depan

KUALA NERUS: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menawarkan tiga bentuk Program Gap Year kepada penuntut Tahun Dua ke atas, membabitkan semua Universiti Awam (UA) seluruh negara menjelang bulan depan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata antara program yang dirangka KPT termasuklah Kesukarelawanan Khidmat Negara, Kesukarelawanan dan Umum.

Katanya, program itu akan menempatkan penuntut berkhidmat sebagai sukarelawan dengan agensi badan beruniform seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selama setahun.

"Bagi Gap Year kesukarelawanan, ia adalah program kerjasama antara universiti bersama pelbagai agensi antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk penuntut melaksanakan aktiviti kesukarelawanan selama tiga bulan sehingga satu tahun.

"Bagi program berbentuk umum pula, penuntut boleh memilih sendiri untuk menangguhkan pengajian mereka bagi membabitkan diri dalam aktiviti sukan; keusahawanan; meningkatkan kemahiran atau melancong," katanya kepada media selepas merasmikan Konvensyen Pemimpin Mahasiswa Kebangsaan dan Konvensyen Kepimpinan Mahasiswa Islam Kebangsaan 2017 di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, aktiviti yang dirancang oleh penuntut perlu mendapat kelulusan dan mengikut syarat yang ditetapkan oleh universiti masing-masing berdasarkan tempoh minimum program iaitu selama satu semester dan maksimum selama satu tahun mengikut kalendar akademik.

"Penuntut yang tamat peperiksaan akhir semester boleh keluar daripada sistem akademik biasa dan memilih sama ada ingin melakukan kerja kesukarelawan bersama badan NGO, membantu keluarga, bekerja atau melancong untuk memperoleh pengalaman yang mungkin tiada di universiti," katanya.

Idris berkata, dengan memberi pelepasan selama setahun itu diharap dapat memberi memanfaat kepada penuntut dengan melakukan aktiviti atau kerja yang mendatangkan faedah terutama untuk mematangkan diri mereka.

"Jika penuntut memilih untuk bekerja, mereka boleh mencari tempat kerja yang bersesuaian dengan bidang yang dipelajari. Jadi ia secara tidak langsung memberi pengalaman secara praktikal kepada mereka selain menambah pengetahuan dengan lebih mendalam sebaik menyambung pengajian di semesta baharu," katanya.

Berita Harian X