X
Sabtu, 19 Ogos 2017 | 12:00pm
LEE Lam Thye
LEE Lam Thye

Tingkatkan latihan elak kemalangan - NIOSH

 

KUALA LUMPUR: Semua pihak yang terbabit dalam pembangunan projek Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor, perlu mengambil langkah proaktif bagi mengelak kemalangan berlaku di tapak itu sepanjang tempoh pembinaan.

 

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kemalangan pada Selasa lalu menyebabkan dua pekerja di kawasan pembangunan berkenaan mengalami kecederaan.

 

"Menurut Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Datuk Mokhtar Musri, kejadian pada jam 3 petang itu berlaku ketika sebilangan pekerja sedang mengangkat paip pada ketinggian tiga meter.

 

"Tali pengikat paip itu dilaporkan terputus menyebabkan paip berkenaan menghempap pelantar sehingga mengakibatkan dua pekerja terpelanting serta mengalami kecederaan

 

"Sementara menunggu hasil siasatan DOSH, NIOSH meminta semua pihak mengambil langkah proaktif bagi mengelak daripada sebarang kejadian yang tidak diingini kelak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Lam Thye berkata, sebagai sebuah agensi penyedia latihan yang diiktiraf pihak berkuasa, NIOSH sentiasa sedia membantu pemaju dan juga kontraktor terbabit meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) di kawasan pembinaan.

 

"Ia termasuk melatih pekerja mereka dalam bidang OSH berkaitan di pejabat NIOSH Wilayah Selatan dan pejabat Satelit di Bandar Penawar, Pengerang yang dibuka secara rasmi pada 20 Julai lalu.

 

"Sehingga kini pejabat Satelit Niosh Pengerang sudah menjalankan lebih 40 kursus membabitkan 800 peserta manakala Niosh Wilayah Selatan sebanyak 54 kursus dengan penyertaan 1,095 orang dalam tempoh tujuh bulan," katanya.

 

Sehubungan itu, beliau berkata, pihak yang terbabit dalam pembinaan RAPID dan projek pembangunan lain di Johor dinasihatkan menggunakan perkhidmatan yang disediakan NIOSH.

 

"Oleh kerana projek RAPID masih dalam fasa pembinaan, tumpuan haris diberikan kepada aspek keselamatan di tapak pembinaan sebelum NIOSH beri fokus kepada program Oil and Gas Safety Passport (OGSP)," katanya.

 

Berita Harian X