Selasa, 25 Jun 2024 | 5:46pm

Cemburu punca pelajar perempuan dibelasah rakan sekolah

KERIAN: Rakaman video tular memaparkan seorang pelajar wanita dibuli di sebuah sekolah menengah dipercayai berlaku di daerah Kerian yang dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata siasatan awal pihaknya terhadap video berdurasi 1 minit 21 saat itu berlaku pada 14 Jun lalu di sebuah sekolah menengah di daerah itu.

Menurutnya dalam kejadian sekitar jam 10.30 pagi itu seorang pelajar wanita berusia 13 tahun telah dibuli oleh dua pelajar perempuan berusia 15 tahun dari sekolah sama.

"Dalam video berkenaan mendapati seorang pelajar telah membawa mangsa ke tandas.

"Sebaik tiba suspek bersama seorang lagi pelajar bertindak menampar mangsa berulang kali dan kejadian itu telah dirakam mereka.

"Siasatan mendapati kejadian berpunca dari sikap cemburu salah seorang suspek terhadap mangsa yang dikatakan rapat dengan teman lelakinya berusia 15 tahun dan pelajar dari sekolah sama," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya lagi, susulan itu satu laporan telah dibuat mangsa pada hari ini dan kes masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Tambahnya orang awam dinasihatkan tidak membuat sebarang spesikulasi negatif bagi mengeruhkan keadaan dan diminta menghubungi balai polis berhampiran sekiranya mempunyai maklumat.

Berita Harian X