Isnin, 24 Jun 2024 | 12:07pm
Aziz Romli, 66, menunjukkan buah matoa yang ditanamnya sejak 10 tahun lalu mendapat permintaan tinggi kerana rasanya yang unik seperti gabungan laici, rambutan dan durian. - Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Aziz Romli, 66, menunjukkan buah matoa yang ditanamnya sejak 10 tahun lalu mendapat permintaan tinggi kerana rasanya yang unik seperti gabungan laici, rambutan dan durian. - Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman

Dari hanya suka-suka, kini jana pendapatan sampingan

JITRA: Seorang bekas pensyarah tidak menyangka tanaman buah motoa mendapat permintaan yang tinggi sehingga mampu menjana pendapatan sampingan.

Aziz Romli, 66, berkata buah yang mempunyai gabungan rasa unik laici, rambutan dan durian itu kini semakin digemari ramai sehingga mendapat permintaan di seluruh negara.

Bekas pensyarah Sains Komputer Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata buah yang turut dikenali sebagai buah kristal itu ditanam kira-kira 10 tahun lalu selepas diperkenalkan sahabatnya.

"Ketika itu kawan saya dari Perak dapat benih dari Klang yang dibawa masuk dari Indonesia, saya beli lapan anak pokok dengan harga RM10 sepokok, tapi yang hidup membesar sehingga sekarang enam pokok sahaja.

"Pada usia tiga tahun pokok ini sudah berbuah dan kalau saya tahu ia akan menjadi rebutan, saya sudah tanam ratusan pokok di kebun 10 relong (tiga hektar) saya yang kini ditanam pokok getah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Menerong, Padang Sera di sini.

Aziz berkata pokok itu kini mampu mengeluarkan kira-kira 100 kilogram (kg) buah setiap pokok dan ia dijual dengan harga antara RM30 sehingga RM38 sekilogram.

Katanya, pokok sangat mudah dijaga selain tahan lasak dan boleh berbuah dua kali setahun.

"Masa awal-awal dulu pokok ini berbuah setahun sekali, tapi sekarang tidak menentu ada setahun dua kali berbuah, ada setahun tiga kali.

"Saya pasarkannya secara dalam talian. Alhamdulillah permintaan sangat memberangsangkan sehingga seluruh Semenanjung," katanya.

Selain buah, Aziz turut menjual anak pokok buah matoa pada harga antara RM25 hingga RM30 bergantung pada saiz.

Beliau berkata buah matoa juga dikatakan mempunyai pelbagai khasiat antaranya mengurangkan risiko kanser, meningkatkan daya tahan tubuh, mengurangkan risiko sakit jantung, menurunkan tekanan darah dan menjaga kesihatan kulit.

Berita Harian X