Jumaat, 21 Jun 2024 | 6:09pm

Pemuda UMNO desak usaha penjualan saham MAHB dihentikan serta merta

KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO mendesak kerajaan menghentikan serta merta usaha penjualan saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada BlackRock Inc melalui Global Infrastructure Partners (GIP) atas nama solidariti bersama rakyat Palestin.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata penjualan sebanyak 30 peratus saham itu amat bertentangan dengan pendirian Malaysia selama ini yang mendokong perjuangan Palestin dan pada masa sama, akan mendedahkan aset berkepentingan nasional dan awam kepada pihak yang rapat serta mempunyai simpati kepada agenda Zionis.

"Kita mahu solidariti kita ini bukan hanya berada peringkat antarabangsa. Ia harus dibuktikan dalam negara kita sendiri.

"Jadi pada hari ini, Pemuda UMNO ingin sekeras-kerasnya memohon dan juga mendapatkan perhatian kerajaan supaya penjualan saham ini kepada syarikat yang dimiliki BlackRock ini boleh dihentikan serta-merta," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda UMNO di Menara Dato Onn, di sini, hari ini.

Sebelum ini, beberapa pihak, termasuk pembangkang membantah usaha penjualan saham MAHB itu kepada GIP, iaitu anak syarikat kepada BlackRock, pemilik kepada syarikat pengeluar senjata untuk Israel.

Hari ini, GIP dalam kenyataan berkata, BlackRock tidak pernah sama sekali terbabit dalam sebarang transaksi berhubung penstrukturan semula kepentingan dalam MAHB melalui Gateway Development Alliance (GDA).

Pada masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menegaskan pentadbirannya hingga kini tetap tegas dengan pendirian untuk tidak membenarkan mana-mana syarikat dari Israel beroperasi di negara ini, namun bagi syarikat asing yang mempunyai kaitan atau kerjasama dengan negara Zionis itu, Malaysia tidak mempunyai keupayaan untuk membatalkan kehadiran mereka kerana ia dikhuatiri boleh menjejaskan ekonomi negara.

Mengulas perkara itu, Dr Muhamad Akmal mengakui pembatalan penjualan salam itu kelak akan memberi kesan kepada ekonomi, namun ekonomi negara pernah terjejas sebelum ini ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

"Banyak lagi syarikat di luar sana yang MAHB boleh meminta bantuan. Saya tidak rasa kalau tiada (penjualan saham kepada) BlackRock ini, MAHB akan bankrap kerana banyak lagi syarikat di luar sana yang boleh membantu MAHB," katanya.

Ditanya sama ada beliau meminta Menteri Kabinet, terutama daripada UMNO untuk mendesak pembatalan penjualan saham itu, beliau berkata, semua menteri dan pemimpin tidak kira daripada kerajaan atau pembangkang perlu senada dalam perkara itu.

"Dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), ada yang nyatakan pandangan dan gesaan. Kita perlu memberi mesej jelas yang kita tidak menyokong dan sama sekali tidak boleh terima perkara ini," katanya.

Selain itu, Dr Muhamad Akmal berkata, pergerakan itu meminta kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi secara berperingkat kerana langkah menarik subsidi pukal diesel yang disifatkan dibuat secara tergesa-gesa baru-baru ini menyebabkan kenaikan harga barangan secara mendadak.

"Jika dilaksanakan secara berperingkat, ia akan mengurangkan impak ekonomi terhadap rakyat.

"Kerajaan wajar menangani segera isu ini dengan memperbesar dan mempermudah pemberian subsidi kepada golongan sasar supaya proses tidak terlalu kompleks, penuh kerenah birokrasi dan capaian kepada yang memerlukan dapat disampaikan dengan cepat," katanya.

Berita Harian X