Jumaat, 21 Jun 2024 | 6:00pm
Mohamed Azmin pada sidang media di Bangunan Dewan Negeri Selangor hari ini. Yang turut hadir, ADUN Sungai Ramal, Mohd Shafie Ngah. - Foto BERNAMA
Mohamed Azmin pada sidang media di Bangunan Dewan Negeri Selangor hari ini. Yang turut hadir, ADUN Sungai Ramal, Mohd Shafie Ngah. - Foto BERNAMA

Azmin serah notis kekosongan luar jangka kerusi DUN Selat Klang

SHAH ALAM: Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini menyerahkan notis bertulis kekosongan luar jangka kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selat Klang kepada Speaker DUN Selangor, Lau Weng San.

Notis itu diserahkan Mohamed Azmin kepada Weng San di pejabatnya di Wisma DUN Selangor di sini, kira-kira jam 2.55 petang tadi.

Beliau berkata, penyerahan notis itu dibuat menurut Perkara LXVA Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 ketika mengadakan pertemuan dengan Weng San.

"Dalam hal ini, saya memaklumkan kepada Speaker Dewan bahawa status Datuk Abdul Rashid Asari yang tidak lagi menjadi ahli BERSATU menjadikan beliau terhenti menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang dan kerusi Selat Klang hendaklah dikosongkan.

"Speaker Dewan juga dimaklumkan satu notis pemakluman disampaikan kepada Abdul Rashid pada 12 Jun yang memaklumkan keahliannya dalam BERSATU terhenti serta-merta seperti termaktub di bawah Fasal 10.4 Perlembagaan BERSATU kerana ketidakpatuhan Abdul Rashid kepada arahan Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU di bawah Fasal 10.5 Perlembagaan Bersatu yang dikeluarkan pada 17 Mei 2024," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pertemuan kira-kira 30 minit itu yang turut disertai ADUN Sungai Ramal, Shafie Ngah.

Mohamed Azmin berkata, dalam perbincangan itu beliau menarik perhatian Speaker Dewan mengenai Perkara LXVA (3) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 yang menyebut:

"Apabila Speaker Dewan menerima notis bertulis daripada mana-mana ahli Dewan Negeri mengenai berlakunya kekosongan luar jangka dalam kalangan ahli Dewan Negeri di bawah Perkara ini.

"Speaker Dewan hendaklah memastikan bahawa berlakunya kekosongan luar jangka itu dan memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sewajarnya dalam tempoh 21 hari dari tarikh dia menerima notis bertulis itu.

"Tertakluk kepada peruntukan Perkara LXVA (1)(a) (ii) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, seseorang ahli Dewan Negeri hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan Negeri itu dan kerusinya hendaklah menjadi kosong sebaik saja suatu tarikh kekosongan luar jangka dipastikan oleh Speaker Dewan di bawah Fasal (3) jika ahli Dewan Negeri yang berkenaan tidak lagi menjadi anggota parti politik itu," katanya.

Beliau juga memaklumkan, Speaker Dewan mengenal Akta Pertubuhan 1966 yang menegaskan keputusan sesuatu parti politik mengenai pentafsiran perlembagaan, kaedah-kaedah atau peraturan-peraturannya atau mengenai apa-apa perkara yang berhubungan dengan hal ehwal parti itu adalah muktamad dan konklusif.

"Saya mohon Speaker Dewan untuk membuat pemastian bahawa berlakunya kekosongan luar jangka untuk kerusi Selat Klang dan seterusnya, menurut Perkara LXVA (3) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

"Speaker Dewan hendaklah memberitahu SPR sewajarnya dalam tempoh 21 hari dari tarikh penerimaan notis bertulis yang saya serahkan secara tangan kepada Speaker Dewan pada hari ini supaya proses pilihan raya dapat diatur bagi mengisi kekosongan kerusi Selat Klang.

"Saya mendesak supaya Speaker Dewan berpegang kepada dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan; Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dan undang-undang negara dalam menjalankan tugas dan fungsi beliau di bawah Perkara LXVA (3) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959," katanya.

Selain itu, beliau juga mengingatkan Speaker Dewan perlu mematuhi dan menunaikan sumpah jawatan beliau untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Negeri Selangor (Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959).

Berita Harian X