Jumaat, 21 Jun 2024 | 3:01pm
Tangkap layar video Mohammad Yaakob menunjukkan antara komponen lembu yang diserahkan kepada seorang wanita yang mempertikaikan agihan sembelihan korban yang dibuat.
Tangkap layar video Mohammad Yaakob menunjukkan antara komponen lembu yang diserahkan kepada seorang wanita yang mempertikaikan agihan sembelihan korban yang dibuat.

'Masjid MADAD kembalikan telinga, bulu kulit lembu selepas agihan korban dipertikaikan'

SUNGAI PETANI: Murthadha Dakwah Centre (MADAD) menyerahkan semua bahagian, termasuk kulit dan telinga lembu yang dikorbankan, selepas kaedah pembahagian sembelihan itu dipertikaikan seorang peserta wanita hingga enggan menghalalkan agihan yang dibuat oleh sukarelawan di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, pertikaian mengenai isu itu sudah diselesaikan Pengarah Urusan MADAD, Mohammad Yaakob Yusra Mohd Yusuf, secara baik dengan wanita berkenaan dan mereka sudah bermaafan.

"Kami (MADAD) tidak ada masalah untuk serahkan semua bahagian sebab ini paling mudah, tapi masalahnya peserta berkenaan hanya ambil empat bahagian dan ada tiga baki peserta lain.

"Jadi tak boleh untuk ambil semua bahagian yang diminta sebab dalam akad awal sebelum korban, kami sudah maklumkan untuk ambil satu per tiga dan baki kita serahkan kepada yang selayaknya, memang sudah angkat akad sebelum korban.

"Cuma bila (peserta wanita) sampai agak beremosi dan tak halalkan, kami putuskan serahkan semua termasuk kulit dan bulu," katanya dalam kenyataan di media sosial.

Terdahulu tular di media sosial mesej yang dipercayai dihantar wanita itu yang mengkritik cara pembahagian daging lembu korban yang dirasakan tidak adil.

Mesej itu tertulis 'Ni makcik nak habaq (beritahu) makcik nak kaki, nak perut, nak hati, nak paru. Kelmarin kata dalam resit tulis nak daging saja. Hari ini makcik tulis semua. Kalau tak bagi satu helai bulu pun makcik tak halalkan. Bukan berkira tapi tegas pada golongan faham agama, cakap lain buat lain'.

Mohammad Yaakob Yusra yang juga pendakwah bebas, berkata setiap peserta korban perlu faham mengenai niat asal ibadah korban.

Katanya, sebagai pihak yang bertanggungjawab menguruskan ibadah korban itu, kejadian terbabit diharap menjadi pengajaran kepada semua pihak.

Menerusi video pendek dalam Tiktok milik Mohammad Yaakob Yusra semalam, beliau turut memberi penjelasan mengenai perkara itu.

"Kita bagi telinga lembu bagi kat dia, pakej bukan satu kita bagi dua, bulu ini saya minta depa kutip, kita bubuh satu plastik ,kak ambil bawa balik, kita bukan nak buat untung, kita bagi semua balik.

"Sebab itu dalam akad tengok elok kami tak dak keuntungan, berjaga sampai 4 pagi bukan nak kepada nama, kita nak bagi manfaat kepada orang, kalau kak buat korban 100 peratus nak, semua nak, lepas ini saya nasihatkan kalau macam itu sembelih sendiri, lapah sendiri.

"Sebab korban ini maknanya nak bagi manfaat kepada orang bukan MADAD, kami tak ambil pun, jadi saya doa semoga Allah buka pintu hati," katanya.

Difahamkan sebanyak 125 lembu dikorbankan oleh peserta yang menyertai program anjuran MADAD sempena Aidiladha tahun ini.

Program sembelihan korban itu diselesaikan di belakang masjid MADAD di sini selama tiga hari bermula 17 Jun lalu.

Berita Harian X