Jumaat, 21 Jun 2024 | 12:10am

UMNO bantu calon Kerajaan Perpaduan di PRK Sungai Bakap

KUALA LUMPUR: UMNO akan menggerakkan sepenuhnya seluruh jentera parti untuk membantu kemenangan calon parti Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang akan berlangsung 6 Julai ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata UMNO menamakan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Pengarah Pilhan Raya BN bagi PRK berkenaan; Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir sebagai Pengarah Operasi dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Ketua War Room.

Selain itu, Asyraf Wajdi berkata, mesyuarat MKT UMNO malam ini juga bersetuju bahawa Perhimpunan Agung parti akan diadakan pada 21 hingga 24 Ogos ini.

Pada masa sama katanya, mesyuarat turut menetapkan UMNO di semua peringkat mengambil tanggungjawab untuk membantu kerajaan membumikan dan melaksanakan Dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara.

"Ini bagi memastikan lebih 250,000 tempat pengajian TVET yang disediakan di 1,345 institusi TVET seluruh negara dimanfaatkan dan dapat diisi sepenuhnya oleh anak muda.

"Mesyuarat merasakan agenda TVET yang dipelopori Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) selaku Pengerusi Majlis TVET Negara adalah satu inisiatif yang berimpak besar, yang mampu membantu anak-anak muda yang punya potensi besar dalam pelbagai aspek kemahiran dan vokasional dapat dibela serta diberikan peluang masa depan yang lebih cerah dengan peluang pekerjaan bergaji premium," katanya dalam kenyataan selepas Mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato Onn di sini.

Asyraf Wajdi berkata, UMNO memberikan penghargaan kepada kerajaan yang menyahut cadangan UMNO untuk menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi GIG.

"UMNO akan terus memainkan peranan melalui kepemimpinan yang berada dalam anggota pentadbiran untuk memastikan 1.16 juta pekerja gig dibela dan dilatih melalui pelbagai program TVET 'upskilling' dan 'reskilling' melalui Majlis TVET Negara," katanya.

Berita Harian X