Selasa, 18 Jun 2024 | 2:27pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menziarahi bekas gurunya, Ustazah Salmah Abu Bakar (kiri) di Cherok To’kun Bawah, Bukit Mertajam, hari ini. - NSTP/MIKAIL ONG

'Saya tak pernah jumpa anak murid seperti Anwar'

BUKIT MERTAJAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim menziarahi bekas gurunya, Ustazah Salmah Abu Bakar, 84, selepas selesai menghadiri Majlis Korban Perdana di Masjid Jamek Cherok To'kun Bawah di sini, hari ini.

Perdana Menteri meluangkan masa hampir 20 minit bertanya khabar Salmah iaitu guru kelas agama ketika Anwar belajar di Madrasah Al Itihadiah Al Wataniah selama tiga tahun waktu bersekolah rendah.

Anwar yang diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, turut berbual santai bersama ahli keluarga dan jiran tetangga Salmah sebelum beredar pada jam 11.50 pagi.

Ustazah Salmah Abu Bakar ketika ditemui di rumah kediamannya Cherok Tokun Bawah, Bukit Mertajam di sini, hari ini. NSTP/MIKAIL ONG
Ustazah Salmah Abu Bakar ketika ditemui di rumah kediamannya Cherok Tokun Bawah, Bukit Mertajam di sini, hari ini. NSTP/MIKAIL ONG

Salmah ketika ditemui pemberita selepas itu, menzahirkan kesyukuran dan terharu kerana dapat bertemu anak didiknya selepas puluhan tahun tidak bersua.

"Sebelum ini saya hanya berpeluang berbual dengannya melalui telefon.

"Selama 31 tahun mengajar, belum pernah saya jumpa anak murid macam Anwar. Saya pernah kata pada dia, satu hari nanti dia akan jadi pemimpin.

"Saya rasa sebak, terkejut dan tidak percaya pun ada bila dia telefon kata nak mai (datang) melawat.

"Alhamdulillah, masa jumpa tadi saya kata sebagai pemimpin kena ada tiga sifat iaitu jujur, amanah dan ikhlas. Insya-Allah selagi ada hayat, saya tak lupa pada Anwar dan doa jadi tolong kekal jangan lari, pegang yang di atas... Allah kata reda, jalan terus.

"Perdana Menteri kata terima kasih bagi semangat kepadanya jadi saya rasa lapang sangat setelah dapat meluahkan apa yang terbuku di hati," katanya.

Mengimbau kenangan mengajar Anwar yang ketika itu berada di Darjah Empat hingga Enam sebelum melangkah ke Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Salmah menyifatkan anak muridnya itu seorang yang cerdas, teliti, rajin bertanya dan tidak kedekut berkongsi makanan dengan rakan-rakannya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menziarahi bekas gurunya, Ustazah Salmah Abu Bakar (kiri) di rumah kediaman Cherok Tokun Bawah, Bukit Mertajam di sini, hari ini. NSTP/MIKAIL ONG

"Ketika itu saya mengajar hampir semua subjek termasuk tauhid, al-Quran, bahasa Arab, sirah, tajwid dan fekah, maka saya rapat dengan anak murid yang saya anggap macam anak sendiri.

"Saya tegas, Anwar pun pernah kena cubit tetapi apabila saya silap menanda kertas ujiannya, dia datang jumpa beritahu dan saya mengaku silap dan markahnya memang selalu tinggi," katanya.

Berita Harian X