Selasa, 18 Jun 2024 | 1:28pm
 Foto fail NSTP
Foto fail NSTP

Kebanjiran ikan bandaraya penunjuk kualiti air sungai rendah - Pakar

KUALA LUMPUR: Kebanjiran ikan asing terutama ikan bandaraya menjadi penunjuk kepada kualiti air sungai semakin menurun.

Pensyarah Kanan Bidang Ekologi dan Penyakit Ikan, Jabatan Biologi Fakulti Sains Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohammad Noor Amal Azmai, berkata ikan bandaraya adalah satu spesies ikan yang mampu hidup di sungai kotor kerana daya tahan hidup tinggi.

"Sifat ikan bandaraya yang tahan kualiti air rendah, cepat membesar, hasilkan telur dengan banyak, tiada pemangsa serta mempunyai sumber makanan mudah ditemui seperti alga menyebabkan berlaku persaingan ruang dan sumber makanan dengan ikan asli di sungai itu.

"Ikan bandaraya banyak membiak dari dulu namun tidak diberi perhatian, sekarang sudah mendominasi sungai tertentu," katanya.

Beliau berkata, spesies invasif itu boleh mengakibatkan hakisan tanah di tebing sungai kerana sifatnya membuat lubang di dalam tanah dengan kedalaman beberapa meter sebagai sarang.

"Ikan bandaraya memang mempunyai sifat untuk membuat lubang di dalam tanah, tebing sungai atau kolam sebagai sarang dan tempat mengawan mereka.

"Lubang dengan kedalaman beberapa meter dalam jumlah banyak akan menyebabkan kekuatan tebing sungai atau kolam lemah sejurus terjadi hakisan dan tanah runtuh.

"Penternak ikan juga tak suka spesies ini masuk ke dalam kolam ikan mereka, sebab ikan ini menggali kolam itu sampai tebingnya jerlus dan runtuh. Ia menjadi satu kerugian kepada penternak ikan," katanya.

Amal berkata, pelaksanaan aktiviti tangkapan secara besar-besaran membantu untuk mengawal populasi ikan bandaraya di sungai.

"Aktiviti tangkapan ikan bandaraya besar-besaran ini sedikit sebanyak membantu untuk kawal populasinya, tapi kena lakukan secara menyeluruh dan berterusan.

"Aktiviti ini juga bagus kerana memberi kesedaran kepada orang awam dan melahirkan banyak 'citizen scientist' berkaitan ancaman ikan asing terhadap sungai kita," katanya.

Jelasnya, ikan bandaraya ditangkap boleh dijadikan pelet, baja ataupun produk makanan haiwan namun tidak digalakkan untuk memakannya.

"Selain menjadikan ikan itu kepada pelet, antara idea lain adalah buat sebagai baja tanaman dan produk untuk makanan haiwan lain.

"Memakan ikan bandaraya yang ditangkap di tempat kotor seperti kawasan Lembah Klang kurang digalakkan kerana risau dijangkiti penyakit bawaan ikan serta kandungan logam berat di dalamnya," katanya.

Terdahulu, BH melaporkan sebanyak 737 kilogram ikan bandaraya berjaya ditangkap di Sungai Langat.

Ikan bandaraya menjadi spesies invasif paling dominan di sekitar sungai di Lembah Klang kerana sifatnya yang sukar dimusnahkan.

Berita Harian X