Isnin, 17 Jun 2024 | 10:38pm

4 berpakaian pengawal keselamatan, bersenjata api rompak kedai emas

KUALA LUMPUR: Empat lelaki bersenjata api, bertopeng serta dilihat berpakaian seakan-akan pengawal keselamatan, merompak kedai emas di sebuah pusat beli-belah di Kajang, dekat sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohamad Nasir Drahman, berkata pihaknya menerima laporan awam pada jam 3.30 petang berhubung kejadian sekitar jam 3.17 petang tadi.

"Kesemua suspek itu yang turut bersarung tangan gelap, telah masuk ke premis di tingkat satu dan didakwa terus memecahkan cermin pameran emas menggunakan tukul besi serta mengambil barang kemas.

"Ketika kejadian, suspek dipercayai membawa dua pucuk pistol dan selaras senapang, serta melepaskan satu das tembakan ke arah dinding premis terbabit," katanya dalam satu kenyataan.

Mohamad Nasir berkata, kesemua suspek kemudian melarikan diri melalui tempat letak kenderaan di bawah bangunan pusat beli-belah berkenaan.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan kerugian masih dalam siasatan, selain pihak polis juga sedang meneliti pita rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan merakam keterangan saksi bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang mana jika sabit kesalahan, boleh dihukum mati walaupun tidak membabitkan kecederaan mahupun kematian.

"Sesiapa yang ada maklumat berkaitan kejadian itu boleh berhubung dengan mana-mana balai berdekatan atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan Mohd Afiq Farhan Mohd Nor, melalui talian 012-2446768," katanya.

Terdahulu, beberapa klip video tular dalam media sosial yang memaparkan kejadian rompakan bersenjata itu.

Tangkap layar daripada rakaman video yang tular berhubung insiden rompakan bersenjata di sebuah kedai emas di pusat beli-belah di Kajang, hari ini.
Tangkap layar daripada rakaman video yang tular berhubung insiden rompakan bersenjata di sebuah kedai emas di pusat beli-belah di Kajang, hari ini.
Berita Harian X