Ahad, 16 Jun 2024 | 10:20pm
Sultan Nazrin berkenan berangkat merasmikan Masjid Abdul Rahman Auf, hari ini. - FOTO BERNAMA
Sultan Nazrin berkenan berangkat merasmikan Masjid Abdul Rahman Auf, hari ini. - FOTO BERNAMA

Sultan Nazrin rasmi Masjid Abdul Rahman Auf

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berkenan berangkat merasmikan Masjid Abdul Rahman Auf, Taman Rapat Koperasi, di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba baginda pada jam 8.27 malam disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Turut hadir ialah Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Tan Sri Mohd Annuar Zaini, serta Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Harith Fadzilah Abdul Halim.

Sejurus tiba, Sultan Nazrin berkenan menarik tirai sebagai simbolik perasmian masjid itu.

Baginda kemudian berkenan menyertai takbir raya sempena Aidiladha dan menunaikan solat isyak berjemaah bersama kira-kira 300 jemaah sebelum berangkat pulang pada jam 9.25 malam.

Masjid Abdul Rahman Auf atau MAARUF pada awalnya adalah sebuah surau yang dibina di atas tanah berkeluasan 1,244 meter persegi pada 1 April 2004.

Ia siap dibina pada 1 April 2007 dengan kos pembinaan sebanyak RM930,577 dan boleh memuatkan 700 jemaah. – BERNAMA

Berita Harian X