Ahad, 16 Jun 2024 | 4:46pm
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika pengebumian jenazah ibunya Datin Dr Siti Zalikhah Mohd Nor di Tanah Perkuburan Islam Sungai Ramal Dalam, Kajang hari ini. - foto BERNAMA
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika pengebumian jenazah ibunya Datin Dr Siti Zalikhah Mohd Nor di Tanah Perkuburan Islam Sungai Ramal Dalam, Kajang hari ini. - foto BERNAMA

Jenazah ibu Fadhlina selamat dikebumikan

KAJANG: Jenazah ibu Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Datin Dr Siti Zalikhah Mohd Nor selamat dikebumikan jam 2.45 petang di Tanah Perkuburan Islam Sungai Ramal Dalam di sini, hari ini.

Terdahulu jenazah dibawa ke Surau Al Mujahidin, Desa Surada, Bangi di sini untuk dimandi dan dikafan, diikuti solat jenazah yang dipimpin anak kelima arwah iaitu Hazim Faizi Siddiq sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika pengebumian jenazah ibunya Datin Dr Siti Zalikhah Mohd Nor di Tanah Perkuburan Islam Sungai Ramal Dalam, Kajang hari ini. - foto BERNAMA
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika pengebumian jenazah ibunya Datin Dr Siti Zalikhah Mohd Nor di Tanah Perkuburan Islam Sungai Ramal Dalam, Kajang hari ini. - foto BERNAMA

Majlis pengebumian yang berlangsung dalam hujan dihadiri lebih 200 orang terdiri daripada ahli keluarga, saudara dan kenalan.

Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir pada 9.30 pagi tadi di Hospital Serdang.

Datin Dr Siti Zalikhah Mohd Nor menghembuskan nafas terakhir di Hospital Serdang jam 9.30 pagi tadi.
Datin Dr Siti Zalikhah Mohd Nor menghembuskan nafas terakhir di Hospital Serdang jam 9.30 pagi tadi.

Siti Zalikhah, 75, yang dilahirkan di Perak adalah balu kepada bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Allahyarham Prof Datuk Dr Siddiq Fadzil dan mempunyai tujuh orang anak.

Allahyarhamah merupakan ahli Jawatankuasa Panel Kajian Syariah (PKS) di bawah Majlis Fatwa Malaysia dan ahli jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji yang dipilih oleh Tabung Haji serta seorang peguam syarie dan berpengalaman dalam bidang Undang-undang Keluarga Islam.

Allahyarhamah juga pernah dilantik Ketua Hal Ehwal Wanita (HELWA) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) selama empat penggal di bawah dua kepimpinan Presiden ABIM iaitu Anwar dan Dr Siddiq dari 1977 hingga 1985.

Beliau juga banyak menulis, membentang, dan menterjemah karya-karya tokoh Islam berkaitan isu wanita dan peranannya daripada perspektif Islam serta kaitan antara wanita dan ilmu.

Allahyarhamah juga aktif membentangkan kertas kerja berkaitan isu wanita, Islam, dan ilmu di seminar-seminar peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. – BERNAMA

Berita Harian X