Ahad, 16 Jun 2024 | 11:52am
Kes membabitkan ‘scam’ korban luar negara menyebabkan umat Islam ada meragui kesahihan ibadah itu yang digerakkan NGO atau syarikat - NSTP/ AZRUL EDHAM
Kes membabitkan ‘scam’ korban luar negara menyebabkan umat Islam ada meragui kesahihan ibadah itu yang digerakkan NGO atau syarikat - NSTP/ AZRUL EDHAM

'Scam' korban luar negara: Bayar murah, tak buat semakan teliti punca ramai jadi mangsa

KUALA LUMPUR: Ingin menunaikan ibadat korban pada harga murah dan pantas dengan semua urusan daripada pemilihan, penyembelihan ternakan sehingga agihan dibuat sepenuhnya syarikat atau individu tertentu tanpa semakan terperinci, menjadi faktor masih ada umat Islam terjebak kegiatan 'scam' atau penipuan ibadat korban luar negara.

Tinjauan BH menerusi media sosial menjelang Aidiladha mendapati lebih 50 iklan ibadah korban luar negara saat akhir dengan harga bermula sekitar RM250 hingga RM450 bagi satu bahagian, malah ada yang menawarkan pelbagai promosi termasuk potongan harga kepada yang berminat menyertainya.

Tidak kurang yang menjanjikan pelbagai cenderahati sampingan dan cabutan bertuah dengan hadiahnya termasuk pakej umrah bagi yang berdaftar dengan mereka.

Lambakan pihak menawarkan khidmat sedemikian dengan ada antaranya meletakkan terma daftar dahulu untuk ketahui lokasi korban, malah ada syarat syarikat berhak menukar lokasi korban, turut menimbulkan persoalan hukum sejauh mana ia boleh dipercayai dan sama ada ibadat itu dijalankan selari dengan ketetapan syarak.

Presiden One Nation Centre, Halim Hafidz yang mengendalikan ibadat korban di Makkah dan Kemboja sejak 13 tahun lalu, tidak menolak masih berlaku scam korban, sama ada penipuan dilakukan membabitkan pihak penganjur sendiri atau ditipu ejen di luar negara.

"Tak dinafikan masih berlaku penipuan skim korban di luar negara ini. Pertamanya, ada yang buat tanpa semak pelbagai perkara penting, misalnya harga yang ditawarkan itu munasabah atau tidak.

"Umat Islam juga sewajarnya cari bukti sebelum terus percaya. Pastikan pihak berkenaan ada rekod pelaksanaan 'track record' yang baik dan diperakui memang turun padang ke negara yang mereka janji akan laksanakan ibadat korban.

"Ini penting kerana ada penganjur dakwa ditipu ejen mereka di luar negara. Maknanya, mereka serahkan bulat-bulat urusan daripada beli ternakan, sembelih hingga agihan," katanya kepada BH.

Halim yang juga pendakwah dan aktivis kemanusiaan, berkata daripada pengalamannya, dalang scam korban ini ada dalam kalangan syarikat atau individu tempatan, selain ada kes membabitkan orang tengah yang diupah untuk menguruskannya.

"Contohnya, ada kes yang orang Malaysia iklankan korban luar negara, tapi tak turun padang ke sana pun, hanya kumpul wang umat Islam di sini yang hendak buat korban dan kemudian diserahkan kepada ejen mereka di sana (luar negara).

"Akhirnya, mereka dapat tahu, ejen hilang begitu sahaja, korban pun tak jalan.

"Dalam kes lain, contohnya ada tiga pelanggan, setiap orang korban seekor lembu , tetapi pelanggan rupanya ditipu dengan diberikan bukti berupa foto lembu yang sama.

"Sebab itu, amat penting untuk mereka yang mahu buat korban luar negara pastikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), individu atau syarikat itu turun padang dan uruskan dari awal hingga proses akhir korban," katanya.

Beliau berkata, disebabkan satu bahagian korban jauh lebih murah berbanding dalam negara, maka ramai tertipu tidak mengambil tindakan lanjut termasuk membuat laporan polis.

Ramai yang tertipu tak buat laporan polis

Katanya, akibat tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pihak yang ingin mengaut keuntungan, umat Islam ada yang mula meragui kesahihan ibadat korban digerakkan NGO atau syarikat yang menganjurkan program sedemikian.

"Tujuan asal kita untuk bantu, pertama umat Islam di negara kita yang nak buat ibadat korban tapi tak mampu.

"Namun dengan wujudnya scam korban, NGO seperti kami yang misinya untuk bantu masyarakat, seolah-olah terpaksa bersaing dengan mereka. Malah, jadi susah pula bila usaha ini dipersoalkan kerana ramai yang bimbang tertipu.

"Satu lagi isu besar bila ada pihak tawar korban luar negara tapi tak tetapkan negara mana. Misalnya dalam iklan disenaraikan kata ada lapan negara (untuk ibadat korban) dengan bayaran bermula RM250.

"Ada yang bayar tapi tidak dimaklumkan korban di negara mana. Ini boleh dipertikaikan hukumnya apabila kita buat korban tapi tak tahu bayar untuk apa dan di mana ia dijalankan.

"Saya tak kata ia haram tetapi perlu dikaji semula dari segi hukum," katanya.

Mengulas mengenai kaedah membendung 'scam' sedemikian, Halim mencadangkan supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melakukan pemantauan secara khusus aktiviti korban luar negara

"JAKIM boleh buat sijil pengiktirafan kepada NGO yang berjaya memberikan laporan (pengurusan korban) yang meyakinkan.

"JAKIM juga mungkin boleh bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di luar negara untuk memantau aktiviti korban di sana," katanya.

Berita Harian X