Sabtu, 15 Jun 2024 | 10:36am
Aliran trafik lebuh raya utama negara bergerak perlahan pagi ini. - Foto fail NSTP
Aliran trafik lebuh raya utama negara bergerak perlahan pagi ini. - Foto fail NSTP

Aliran trafik lebuh raya ke utara dan timur semakin perlahan

KUALA LUMPUR: Aliran trafik lebuh raya utama negara bergerak perlahan pagi ini, berikutan pergerakan orang ramai pulang ke kampung halaman masing-masing menjelang Aidiladha yang akan disambut, Isnin ini.

Laporan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi akaun media sosial rasmi menunjukkan aliran trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak ke Pantai Timur semakin sesak akibat pertambahan kenderaan.

Setakat jam 8.22 pagi tadi, katanya trafik sesak sebelum Plaza Tol Gombak, selain kesesakan 8.1 kilometer (km) dari Plaza Tol Gombak ke Kilometer (KM) 37.9 arah Bukit Tinggi.

Selain itu, trafik turut sesak sepanjang 3.3km dari KM39.3 hingga ke KM42.5 kawasan Bukit Tinggi dan kesesakan sepanjang 6.6km dari KM43.9 hingga KM50.5 kawasan Lentang.

Kesesakan sepanjang 3.5km juga berlaku dari KM54.2 ke arah Bentong di KM57.7.

Sementara itu di jajaran lebuh raya utara selatan, PLUS menerusi akaun rasmi X @plustrafik, melaporkan jumlah kenderaan dilaporkan semakin meningkat ke arah Utara.

Katanya, aliran trafik mulai perlahan di Sungai Buloh dan dari Tapah ke Gopeng

Setakat jam 9.30 tadi, dengan aliran trafik mulai perlahan dari Terowong Menora arah ke kawasan rehat Sungai Perak, dari Bandar Cassia ke Bukit Tambun dan Permatang Pauh ke Sungai Dua.

Selain itu, pihak PLUS turut mengaktifkan Smart Lane' arah Utara dari KM439.9 ke KM435.5 dari Rawang ke Sungai Buaya dan dari KM367.3 ke KM354.0 dari Slim River ke Sungkai.

Laluan Smart Lane arah selatan turut diaktifkan di KM 280.0 hingga ke KM276.0 dari Nilai ke Bandar Ainsdale.

Orang ramai boleh mengenal pasti laluan Smart Lane melalui pemasangan lampu hijau dan papan tanda pemberitahuan di lokasi tertentu.

Smart Lane boleh digunakan oleh kenderaan ringan, persendirian atau penumpang ketika tempoh pengaktifan.

Berita Harian X