Jumaat, 14 Jun 2024 | 8:40pm
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada bekas wartawan penyiaran TV3, Datuk Karam Singh Walia di kediamannya Taman Sri Andalas, Klang. Foto NSTP Faiz Anuar
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada bekas wartawan penyiaran TV3, Datuk Karam Singh Walia di kediamannya Taman Sri Andalas, Klang. Foto NSTP Faiz Anuar

`Jangan kejar 'glamour', perjuangkan isu rakyat'

KLANG: Bekas Wartawan Penyiaran Stesen Televisyen Malaysia Berhad (TV3), Datuk Karam Singh Walia mengingatkan wartawan muda untuk terus memperjuangkan isu rakyat dan bukan mengejar populariti semata-mata.

Karam, 65, berkata sebagai wartawan mereka perlu menjadi pejuang utama kepada isu dan masalah rakyat dan bukan merungut tentang perkara remeh yang tidak memberi faedah kepada diri mereka.

"Yang paling penting sekali buat kerja dengan hasrat, kemampuan dan iltizam yang cukup mendalam.

"Tidak perlu berfikir dan kejar 'glamour' kerana bila kita buat kerja dgn hasrat baik dan ikhlas, rakyat penonton dan mereka yang membaca berita di luar sana kita tahu," katanya kepada pemberita ketika menerima lawatan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, di kediamannya di Taman Sri Andalas, hari ini.

Terdahulu, Nie Ching hadir menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada Karam. Turut hadir, Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Arul Rajoo Durar Raj.

Selain sumbangan wang tunai, Karam juga menerima sumbangan barangan daripada Syarikat Pusat Pakaian Hari-Hari dan AEON Big.

Karam pernah terkenal kerana gemar melantunkan pantun dan kiasan dalam laporannya, berkhidmat sebagai wartawan di TV3 selama 20 tahun bermula 1995 sebelum mengambil keputusan untuk bersara pada 2014 kerana masalah kesihatan.

Sementara itu, Nie Ching berkata, semangat dan mutu profesionalisme yang ditonjolkan oleh Karam sebagai wartawan boleh menjadi contoh yang baik kepada pengamal media.

Katanya, beliau berbesar hati untuk menziarahi ikon kewartawanan yang pernah memenangi dua anugerah dalam Anugerah Sri Angkasa 2004 sebelum ini.

Dalam pada itu, Nie Ching turut memaklumkan bahawa Karam adalah penerima ke-103 inisiatif yang diperkenalkan ketika Hari Wartawan Nasional (HAWANA) tahun lalu dengan pihaknya menyasarkan kira-kira 90 pengamal dan bekas pengamal media untuk disantuni menjelang akhir tahun ini.

"Jadi saya harap kalau ada lagi rakan wartawan dan bekas pengamal media berada dalam keadaan ini (keuzuran) dan memerlukan bantuan dari sumbangan Tabung Kasih@HAWANA, boleh menghubungi Bernama sebagai urus setia untuk bantuan ini," katanya.

Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan sempena sambutan HAWANA 2023 bertujuan menyantuni wartawan dan petugas media, sama ada yang masih dalam perkhidmatan mahupun bersara, yang keuzuran atau memerlukan bantuan.

Ia inisiatif Kementerian Komunikasi yang dilaksanakan menerusi Bernama.

Berita Harian X