Jumaat, 14 Jun 2024 | 12:01am
Zayn Rayyan Abdul Matiin.
Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Adik Zayn Rayyan dalam jagaan JKM Selangor

PETALING JAYA: Adik kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matin yang dibunuh tahun lalu kini berada dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor.

Difahamkan JKM Selangor datang ke rumah keluarga ibu bapa Zayn di Puncak Bestari sebelum kanak-kanak lelaki itu dibawa ke sebuah hospital untuk pemeriksaan.

Pengarah JKM Selangor, Azmir Kassim ketika dihubungi Harian Metro malam ini, mengesahkan perkara itu.

Menurutnya, terdapat keperluan untuk JKM mengambil kanak-kanak terbabit.

"Bagaimanapun kita bawa dia ke hospital untuk tujuan pemeriksaan dahulu. Selesai laporan nanti baru kita tentukan macam mana tindakan akan diambil," katanya.

Terdahulu ibu dan bapa kepada Zayn Rayyan didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan pengabaian dengan kemungkinan boleh menyebabkan kecederaan ke atas kanak-kanak itu, tahun lalu.

Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri yang berusia 29 tahun itu didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar Damansara Damai di sini, pada 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember.

Berita Harian X